Monday 17 August 2009

WARGA INDONESIA DIPELAWA SAMBUT HARI KEMERDEKAAN PADA 17 OGOS INI Oleh Rafidah Jumat & Hasrulraizan (Dipetik Dari Media PermataJumaat, 14 Ogos 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Bersempena dengan ulang tahun Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-64, Kedutaan Besar Indonesia di negara ini akan mengadakan Majlis Menaikkan Bendera pada pukul 8 pagi, 17 Ogos ini.
Majlis berkenaan akan mengambil tempat di Ibu Pejabat Kedutaan Indonesia di alamat Simpang 528, Kampung Sungai Hanching Baru, Jalan Muara.
Sehubungan itu, Duta Besar Indonesia ke Brunei, Herijanto Soeprapto menjemput warganegara Indonesia di negara ini untuk sama-sama menghadiri majlis berkenaan, dengan harapan mereka akan hadir 30 minit sebelum bermulanya majlis.
Duta Besar berkenaan juga mengambil kesempatan untuk memohon kerjasama baik daripada para majikan bagi memberikan kebenaran kepada pekerja Indonesia mereka menghadiri majlis itu dan seterusnya bersama-sama meraikan sambutan berkenaan.
Selain daripada majlis berkenaan, beberapa aktiviti sampingan bagi masyarakat Indonesia di negara ini telah pun dirancang untuk diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan memperingati Hari Kemerdekaan berkenaan seperti bola tampar, tarik kalat, perlumbaan selipar berdua, lari dalam guni, peraduan mewarna gambar dan lain-lain lagi.
Susulan dari pertandingan ini, pejabat kedutaan juga akan mengadakan kempen menderma darah pada bulan ini.

No comments:

Post a Comment