Friday 7 August 2009

Memiliki arak: Pesara tentera, ejen amah didenda Oleh Sahrol Daud (Di petik dari Media Permata Khamis, 6 Ogos 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Seorang pesara tentera didenda $2,000 atau hukuman penjara 2 bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki beberapa tin dan botol minuman alkohol dan beberapa paket rokok tidak berbayar cukai kastam.
Jafri Haji Abd Kadir, 43, didapati menyimpan 48 tin bir 'Tiger', satu botol 'XXX Tequilla Gold', 3 botol vodka 'Smirnoff' dan 18 paket rokok di sebuah rumah sewa, bilik nombor 2, Simpang 31, Jalan Lampaki di Kampung Mulaut.
Pegawai pendakwa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei berkata defendan mengaku minuman alkohol itu diberi oleh kawannya sebagai pemberian kerana menghantar mereka ke Limbang dan membawa mereka pulang ke Brunei.
Sementara itu, mahkamah yang sama hari ini juga mendenda seorang ejen amah sejumlah $1,200 atau sebulan dalam penjara setelah dia mengaku melakukan kesalahan yang sama.
Hafizah Ramlee/Hamzah, 24, mempunyai dalam simpanannya 12 botol bir 'Heineken', 18 botol pelbagai jenis arak dan 6 karton rokok.
Menurut pendakwa Kastam, semua barangan itu ditemui bersama defendan di dalam sebuah kereta, ketika dia mahu memasuki Brunei melalui Pos Kawalan Kastam Kuala Lurah.

No comments:

Post a Comment