Friday 7 August 2009

ANAK TEMPATAN PERTAMA JADI KETUA HAKIM NEGARA Oleh Sim Y. H. (Di petik dari Rabu, 5 Ogos 2009)




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Bidang kehakiman dan perundangan Brunei hari ini mencatat sejarah tersendiri dengan perkenan Baginda Sultan bagi pelantikan ke dua jawatan tertinggi bidang itu.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini memperkenankan pelantikan penjawat baru bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara.
Baginda Sultan berkenan berangkat ke majlis mengangkat sumpah bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Mahkamah Besar Brunei yang baru, Dato Seri Paduka Haji Kifrawi Haji Kifli. Majlis berlangsung di Istana Nurul Iman.
Yang turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
Majlis dimulakan dengan pembacaan surat pelantikan oleh Grand Chamberliain Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin Pengiran Haji Abu Bakar.
Dato Seri Paduka Haji Kifrawi yang sebelum ini menjawat jawatan Peguam Negara kemudian mengangkat sumpah ke hadapan majlis Baginda Sultan sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.
Pelantikan Dato Seri Paduka Haji Kofrawi berkuat kuasa mulai 4 Ogos bagi menggantikan Dato Seri Paduka Mohammed Saied yang menyempurnakan tempoh lantikan beliau.
Sejurus selepas majlis mengangkat sumpah, Baginda Sultan berkenan untuk menerima mengadap Dato Seri Paduka Haji Kifrawi.
Dato Seri Paduka Haji Kifrawi mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi anak tempatan pertama dilantik ke jawatan paling tinggi dalam bidang kehakiman negara ini.
Sementara itu, pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri juga memaklumkan Baginda Sultan mengurniakan titah perintah bagi pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Paduka Hajah Hayati Haji Mohd Salleh menjadi Peguam Negara yang baru berkuat kuasa bermula 4 Ogos.
Pelantikan ini juga mencatat sejarah istimewa dalam bidang perundangan apabila Datin Paduka Hajah Hayati menjadi wanita pertama menduduki jawatan Peguam Negara yang sebelum ini dipegang oleh Dato Seri Paduka Haji Kifrawi.

No comments:

Post a Comment