Friday 7 August 2009

BANGUNAN HANGUS DI JALAN BUNUT Oleh Sim Y. H. (Di petik dari Media Permata Khamis, 6 Ogos 2009 )


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Asap tebal yang kelihatan sehingga lebih dua kilometer dari sebuah bangunan yang terbakar di Jalan Bunut menggemparkan suasana dan menarik perhatian orang ramai untuk melihat kejadian itu di Kampung Madewa, Bunut awal hari ini.
Kira-kira 30 anggota Bomba dan Penyelamat bertungkus-lumus bertugas untuk mengawal api untuk menyelamatkan tingkat bawah sebuah bangunan yang terbakar.
Panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat pada kira-kira pukul 10.04 pagi dan tiga jentera dari Balai Bomba Beribi dan dua jentera dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dikejarkan ke tempat kejadian.
Anggota Bomba dan Penyelamat dalam operasi itu mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengawal kebakaran dengan operasi diketuai oleh Pegawai Memerintah Operasi A, Penguasa Kanan Awang Tengah.
Salah seorang pekerja yang bertugas di syarikat di bangunan terlibat, Venus Katipunan berkata beliau ternampak asap yang keluar dari bangunan itu dan terus berlari menuju ke rakan kerjanya lalu mengarahkan mereka mengosongkan bangunan berkenaan.
Beliau berkata mereka bergegas keluar dari bangunan itu dan mendapati anggota Bomba dan Penyelamat sudah sampai ke tempat kejadian.
Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan punca serta harta yang musnah dalam kejadian itu masih lagi dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment