Monday 17 August 2009

LELAKI WARGA TEMPATAN KENA PENJARA5 BULAN oleh Hjh Saemah Zulkefi.(Dipetik daripada Media Permata Jumaat, 14 Ogos 2009)

KUALA BELAIT, Khamis - Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) (i) Akta Pasport Penggal 146.
Jabatan Imigresen bahagian Penguatkuasaan cawangan daerah Belait dalam laporannya hari ini menyatakan lelaki terbabit, 56, ditangkap pada 26 Ogos tahun lalu di kawasan Pos Kawalan Sungai Tujuh oleh pegawai bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Belait.
Lelaki terbabit telah didakwa atas kesalahan dengan sengaja membantu seorang warga asing melakukan kesalahan di bawah Bab 3(2) Akta Pasport Penggal 146.

DILAPORKAN HILANG SEJAK 19 MEI oleh Mohamad Asyramisyanie (Dipetik Dari Media Permata pada Jumaat, 14 Ogos 2009)


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Pasukan Polis Diraja Brunei hari ini memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang lelaki yang dilaporkan melarikan diri dari rumah sejak 19 Mei lalu.
Lelaki itu bernama Firdaus Reduan atau Firdaus Anak Budol yang berusia 21 tahun.
Orang ramai yang mempunyai butir atau maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi pegawai penguasa balai polis Sungai Liang melalui nombor talian 3230250 atau hotline 993.

24 PESERTA BENGKEL LIVEWIRE TERIMA SIJIL Oleh Sim Y.H. (DiPetik dari Media Permata pada Jumaat 14 Ogos 2009)


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Seramai 24 bakal pengusaha muda tempatan yang terdiri daripada kakitangan syarikat swasta dan pelajar yang menamatkan program Bengkel Idea Bernas yang dianjurkan LiveWIRE Brunei menerima sijil penyertaan mereka hari ini.
Bengkel dua hari tajaan Syarikat Minyak Brunei Shell yang dikendalikan di Pusat LiveWIRE di Berakas memberikan pendedahan kepada peserta mengenai keperluan negara mempelbagaikan ekonomi menerusi bidang perusahaan dan keusahawanan.
Bengkel yang dikendalikan Kaunselor Perniagaan, Awang Hasrul Anwar Haji Abdul Kadir itu memberikan pendedahan mengenai bidang keusahawanan sebagai satu bidang kerjaya yang mampu mereka terokai dan memberikan peluang untuk membantu bakal usahawan muda mendapat panduan mengenai cara memulakan serta menjalankan perusahaan mereka.
Bengkel itu juga adalah landasan penting bagi peserta untuk mencapai hasrat menjadi usahawan muda dan memiliki perusahaan sendiri kerana usaha itu juga penting bagi pembangunan sektor keusahawanan Brunei yang diterajui LiveWIRE Brunei dan komitmen Syarikat Minyak Brunei Shell kepada inisiatif pembangunan masyarakat.
Antara tujuan bengkel itu untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai dunia perniagaan dan untuk mendapat inspirasi daripada pengalaman yang dikongsi sepanjang program dua hari itu.

DUA KELUARGA MANGSA KEBAKARAN TERIMA BANTUAN Oleh Salawati Haji Yahaya (Dipetik Dari Media Permata pada Jumaat, 14 Ogos 2009 0

Dua keluarga mangsa kebakaran terima bantuan
Oleh Salawati Haji YahyaBANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Majlis Ugama Islam Brunei hari ini menyampaikan bantuan kewangan kepada dua keluarga mangsa kebakaran.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei, mangsa kebakaran yang menerima bantuan itu merupakan mangsa kebakaran di Kampung Bebatik Kilanas dan Kampung Sungai Mau Mukim Bukit Sawat, daerah Belait.
Mangsa kebakaran yang menerima sumbangan tersebut ialah Dayang Asmah Pehin Khatib Haji Besar dan keluarga di mana rumah mereka terlibat dengan kebakaran pada 23 Julai 2009 di Kampung Sungai Tampoi Mukim Sengkurong.
Mereka menerima bantuan kewangan sebanyak $3,400 di samping bantuan peralatan sekolah yang diberikan kepada anak dan cucunya yang masih bersekolah.
Sementara Awang Abdul Rahman Abdullah @ Tedong Anak Libau yang mana rumah mereka terlibat dengan kebakaran pada 11 Jun 2009 di Kampung Sungai Mau Mukim Bukit Sawat, daerah Belait dan menerima bantuan kewangan berjumlah $600.
Majlis penyampaian sumbangan derma itu berlangsung di bilik Seroja, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang disampaikan oleh Setiausaha Majlis Ugama Islam Haji Harun Haji Junid.
Dengan adanya bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada keluarga yang ditimpa musibah.

MEMBACA KUNCI KEPADA KEMAJUAN DANPEMBANGUNAN BANGSA Oleh Imelda Farrah Zohre HA (Dipetik Dari Media Permata Jumaat, 14 Ogos 2009)



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Jika budaya membaca wujud pada sesuatu bangsa pasti bangsa berkenaan akan maju dan membangun kerana membaca adalah kunci kepada kemajuan dan pembangunan.
Dalam pengertian yang lebih luas membaca adalah kunci kepada pembinaan tamadun sesuatu bangsa, kata Pemangku Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abd Rahman.
"Jika kita ingin menjadi bangsa yang besar, dihormati dan disegani maka kita perlu menjadikan membaca itu sebagai suatu budaya yang kuat," jelas beliau ketika berucap pada Peraduan Mari Bercerita Peringkat Negara 2009 hari ini.
Katanya jika diperhatikan setiap bangsa yang maju di dunia pada hari ini seperti masyarakat Jepun dan di barat kebanyakan individunya rajin membaca di mana-mana saja.
Beliau berkata melalui pembacaan, pembaca akan mendapat pelbagai informasi dan ilmu pengetahuan yang berharga sekali gus menjadi punca segala keyakinan hidup di dunia dan di akhirat.
Menurutnya membaca bukan setakat membaca yang kosong tetapi membaca sambil berfikir dan berfikir pula perlu dengan minda yang kritis iaitu memahami, menganalisis dan menyoal balik apa yang dibaca sehingga membolehkan seseorang itu merumuskan dan membutirkan semula bahan yang sudah dibaca itu malah mungkin boleh mencambahkan idea terbaru yang lebih bermutu, jelasnya lagi.
Menurutnya kaedah seperti itu perlu diterapkan kepada pelajar negara ini sama ada yang masih kecil atau remaja termasuk penuntut di pusat pengajian tinggi supaya rajin membaca dan kelak menjadi intelektual yang sebenar, dinamik, membina, membangun dan positif.
"Dalam mempromosikan budaya membaca tentu pula perlu disediakan bahan bacaan yang menarik dan mudah diperoleh di pasaran baik dalam aliran Melayu, Inggeris atau Arab atau apa saja bahasanya," jelas beliau.
Beliau seterusnya menasihati jika mencari bahan bacaan dalam aliran Melayu di samping mendapatkan bahan bacaan dalam tulisan Rumi juga tidak dilupakan bahan bacaan dalam tulisan Jawi yang sangat mustahak untuk dipelihara.
Ini kerana, tambahnya lagi, tulisan itu berdasarkan huruf al-Quran dan Al-Sunah yang pada masa ini penghayatan terhadapnya semakin pudar dan semakin kurang digunakan orang Melayu sedangkan tulisan Jawi adalah lambang yang jelas kepada kemelayuan dan keislaman.
"Bagi saya tulisan Jawi adalah satu mutiara anugerah Allah kepada bangsa Melayu yang sangat berharga kerana tulisan berkenaan warisan agung yang ada kaitan dengan agama dan akidah yang kita anuti tetapi kebanyakan kita tidak menyedari hakikat luhur ini ekoran globalisasi," tambah beliau lagi.
Menurutnya perpustakaan yang lengkap dan kondusif di sekolah dan dalam masyarakat di kota mahupun di desa perlu juga disediakan dengan mengadakan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi membeli bahan bacaan dan infrastruktur yang diperlukan itu.
Beliau menambah kata semua itu adalah pelaburan jangka panjang yang hasilnya tidak akan dapat dilihat dengan segera.

WARGA INDONESIA DIPELAWA SAMBUT HARI KEMERDEKAAN PADA 17 OGOS INI Oleh Rafidah Jumat & Hasrulraizan (Dipetik Dari Media PermataJumaat, 14 Ogos 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Bersempena dengan ulang tahun Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-64, Kedutaan Besar Indonesia di negara ini akan mengadakan Majlis Menaikkan Bendera pada pukul 8 pagi, 17 Ogos ini.
Majlis berkenaan akan mengambil tempat di Ibu Pejabat Kedutaan Indonesia di alamat Simpang 528, Kampung Sungai Hanching Baru, Jalan Muara.
Sehubungan itu, Duta Besar Indonesia ke Brunei, Herijanto Soeprapto menjemput warganegara Indonesia di negara ini untuk sama-sama menghadiri majlis berkenaan, dengan harapan mereka akan hadir 30 minit sebelum bermulanya majlis.
Duta Besar berkenaan juga mengambil kesempatan untuk memohon kerjasama baik daripada para majikan bagi memberikan kebenaran kepada pekerja Indonesia mereka menghadiri majlis itu dan seterusnya bersama-sama meraikan sambutan berkenaan.
Selain daripada majlis berkenaan, beberapa aktiviti sampingan bagi masyarakat Indonesia di negara ini telah pun dirancang untuk diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan memperingati Hari Kemerdekaan berkenaan seperti bola tampar, tarik kalat, perlumbaan selipar berdua, lari dalam guni, peraduan mewarna gambar dan lain-lain lagi.
Susulan dari pertandingan ini, pejabat kedutaan juga akan mengadakan kempen menderma darah pada bulan ini.

BANK BAIDURI DIIKTIRAF KUMPULAN PERBANKAN TERBAIK DI BRUNEI oleh Salawati Haji Yahya (Dipetik dari Media Permata pada Jumaat, 14 Ogos 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Penyelidikan bebas dunia yang dilakukan oleh World Finance, sebuah majalah kewangan terkemuka dunia mengiktiraf Kumpulan Bank Baiduri sebagai "Kumpulan Perbankan Terbaik di Brunei" dalam Anugerah Kewangan Dunia 2009 mereka.
Kumpulan itu mencatatkan persembahan mantap dan pertumbuhan dalam jumlah perniagaan dan kegiatan yang membolehkannya menerima anugerah global itu.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah Anugerah Kewangan Dunia tahunan bank Brunei dipilih.
Pengurus Besar Bank Baiduri, Pierre Imhof menerima anugerah itu dalam bentuk batu obelisk kristal daripada bekas Badan Penyiaran Britain (BBC) di Bursa Saham London baru-baru ini.
Berikutan penyerahan anugerah itu, Imhof yang ditemu bual mengenai strategi pertumbuhan yang diserapkan Bank Baiduri di Brunei, beliau menjelaskan mengenai perkembangan dan pencapaian utama kumpulan itu dalam tempoh 15 tahun, dan ia adalah nilai teras yang bertujuan untuk memenuhi keperluan pasaran setempat.
Panel pemilihan anugerah World Finance menggunakan berbagai-bagai kriteria untuk mencapai keputusan itu bagi anugerah itu.
Sebahagian faktor penting termasuk: penyelesaian pelanggan dan hubungan pengoptimuman, inovasi dan kefleksibelan, mengekalkan persaingan, kepimpinan pasaran dan penyebaran geografi, bukti pembangunan dan liputan media yang positif.

WARGA TEMPATAN DISYAKI CURI KAD KREDIT Oleh Ak Fairol RMF (Dipetik dari Media Permata pada Jumaat, 14 Ogos 2009)


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan berjaya menagkap seorang lelaki warga tempatan berumur 24 tahun kerana yang dipercayai terlibat dalam kes curi kad kredit Visa dan MasterCard sebuah bank tempatan untuk mengeluarkan wang bagi keperluan sendiri.
Anggota-anggota jabatan itu yang diketuai Inspektor Puasa menjumpai bahan bukti terbabit dan membuat rampasan pada Selasa, kata polis dalam kenyataan hari ini.
Manakala itu pada 12 Ogos pula, mereka juga berjaya menangkap tiga orang lelaki penganggur warga tempatan berusia antara 17 dan hingga 28 tahun kerana disyaki dalam kes curi rim sport dan pecah kereta.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di tiga buah kawasan iaitu kawasan letak kereta Sungai Bunga, kawasan letak kereta Pintu Malim dan kawasan letak kereta Kompleks Yayasan.
Ketiga-tiga mereka masih ditahan bagi siasatan kes-kes lain.
Sementara itu polis meminta kerjasama orang ramai dengan melaporkan apa juga maklumat mengenai jenatah ke 2242335, 2242339 atau 993.

QARIAH DAN QARI NEGARA DIBERI SAMBUTAN MARIAH oleh Mohamad Asyramisyanie (Dipetik dari Media Permata Jumaat, 14 Ogos 2009 )

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Negara sekali lagi berbangga apabila qariahnya berjaya menduduki tempat ketiga di Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-51 di Kuala Lumpur, Malaysia baru-baru ini.
Qariah Brunei, Hajah Nurul Akmalinawati Haji Yahya pulang ke tanah air hari ini dengan dialu-alukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Badaruddin Haji Othman.
Majlis meraikan ketibaan qari Haji Mohammad Fahmi Haji Metussin dan qariah Brunei itu disambut meriah dengan persembahan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai kepada mereka dengan didahului oleh Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Badaruddin sendiri.
Mereka juga disambut dengan pukulan hadrah, terutama bagi meraikan kejayaan Hajah Nurul Akmalinawati yang bersaing dengan 42 orang qari dan 24 qariah dari 66 buah negara dalam pertandingan di Kuala Lumpur yang berakhir pada Selasa.
Hajah Nurul Akmalinawati menduduki tempat ketiga setelah memperoleh markah 86 peratus dan ini adalah penyertaan kedua beliau dalam pertandingan membaca al-Quran peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Malaysia
Haji Mohammad Fahmi Haji Metussin pula menduduki tempat ke lima.

SUNGAI LIANG SEPERTI BSB Oleh Hajah Saemah Zulkefli (Di Petik Dari Media Permata pada Jumaat, 14 Ogos 2009)


SERIA, Khamis - Perancangan jangka panjang Daerah Belait akan menyaksikan kemunculan Sungai Liang sebagai Pusat Pertumbuhan baru seperti Bandar Seri Begawan yang diharapkan mengimbangi pembangunan keempat-empat daerah di negara ini.
Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan Haji Mohd Rozan Haji Mohd Yunos hari ini berkata terdapat juga cadangan pembaikan infrastruktur fizikal dan sosial, unjuran keperluan perumahan, sekolah dan kemudahan awam.
Ketika berucap melancarkan Pameran Pelan Perancangan Daerah Belait anjuran Jabatan Perancang Bandar dan Desa yang berlangsung di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), katanya penyediaan pelan terbabit turut membuat unjuran pertambahan penduduk daerah Belait daripada 63,900 orang pada 2006 kepada 86,5000 orang menjelang 2025.

Beliau menambah kata dengan pertumbuhan itu jangkaan keperluan perumahan akan meningkat kira-kira 40 peratus daripada jumlah sekarang, tambahnya sambil menjelaskan Jabatan Perancang Bandar dan Desa melalui konsultan jurutera tempatan sudah menyiapkan Pelan Daerah Belait.
Katanya perancangan pelan yang disediakan untuk semua daerah membabitkan empat peringkat penyediaan yang bermula dengan pelan permulaan, pelan bahagian, pelan cadangan dan pelan strategi yang sekarang ini pada peringkat penyediaan draf terakhir.
Dalam perancangan berkenaan orang ramai, agensi kerajaan dan pemegang teras terutama penduduk daerah Belait juga terbabit dalam perundingan mengikut peringkat penyediaan pelan, dalam dialog dan melalui pameran yang dibukakan kepada orang ramai selama empat hari bermula hari ini di OGDC.
Dalam pelan induk yang dipamerkan itu, Mukim Liang bakal memiliki loji dan jeti BLNG selain menjadi hab industri petrokimia selain memiliki pusat penyelidikan dan sains melalui Pusat Biodiversiti Tropika.
Pelan itu juga memasukkan rancangan pembinaan sebuah lapangan terbang dan lebuh raya di Mukim Bukit Sawat yang diklasifikasikan sebagai program jangka panjang selain turut memiliki Pusat Penyelidikan Perhutanan.
Haji Mohd Rozan dalan ucapan-nya juga berkata dalam memajukan kawasan pedalaman pula, pelan berkenaan mengenal pasti beberapa kawasan perkampungan seperti Labi dan Sungai Mau sebagai Pusat Luar Bandar yang boleh menjana ekonomi di kawasan kampung.
Pelan berkenaan, katanya mengenal pasti dasar guna tanah utama bagi memastikan strategi pembangunan dan pemeliharaan atau penyimpanan khazanah hutan negara dan kawasan alam sekitar sensitif supaya sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang.
Pameran itu diadakan untuk memaklumkan kepada umum strategi perancangan untuk daerah Belait di samping untuk mendapat maklum balas daripada orang ramai terutama penduduk setempat berhubung perancangan itu yang boleh dijadikan garis panduan bagi pembangunan daerah Belait sehingga 2025.
Antara yang dipamerkan ialah maklumat mengenai strategi pembangunan dan cadangan guna tanah serta penempatan penduduk seluruh daerah Belait selain mengenal pasti dasar utama guna tanah ke arah memastikan strategi pembangunan dan pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar untuk masa hadapan.
Pameran yang dibuka kepada orang ramai daripada pukul 9.30 hingga 4.30 petang itu akan berakhir pada 16 Ogos ini.

TTERKEJUT LIHAT ULAR TUNGGU ANJING Oleh Kasha (Dipetik Dari Media Permata pada Selasa, 11 Ogos 2009)



TUTONG, Isnin - Anggota bomba dan penyelamat Lamunin malam tadi menerima panggilan kecemasan dari anggota keluarga Umpud binti Balah dari Kampung Pangkalan Dong, Ukong untuk menangkap seekor ular sawa.
Mereka terkejut melihat reptilia itu berada di bawah tangga rumah dan dipercayai sedang menunggu mangsa daripada anjing-anjing yang berkeliaran.
Anggota bomba dan penyelamat yang bergegas ke tempat berjaya menangkap ular sawa yang panjangnya kira-kira 6 meter dan berat kira-kira 60 kilogram.
Mereka berkata ini adalah ular sawa paling besar yang berjaya ditangkap setakat ini.

UDARA KINI MAKIN BAIK Oleh Hasrulraizan (Dipetik dari Media Permata Sabtu/Ahad, 15/16 Ogos 2009

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Brunei pada masa ini masih lagi mengalami keadaan kualiti udara yang berjerebu, namun bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) pada pukul 6 petang hari ini bagi keempat-empat daerah adalah di tahap baik.
Walaupun catatan PSI bagi Belait adalah 17, Brunei dan Muara, 23, Tutong, 27 dan Temburong, 33 adalah di tahap baik, namun bacaan PSI dari semua stesen pemantauan kualiti udara (PM10) di keempat-empat daerah itu masih lagi tinggi berbanding hari biasa.
Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dalam kenyataannya hari ini berkata ia akan sentiasa memantau keadaan kualiti udara dan memberi maklumat dan nasihat yang bersesuaian mengenai dengan kualiti udara dari semasa ke semasa, melalui rangkaian radio dan televisyen.
JASTRE turut menggesa orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti udara, dan pada masa sama JASTRE juga akan berterusan memantau keadaan kualiti udara dan aktiviti pembakaran terbuka di negara ini.
Sementara itu, hujan lebat yang mula turun pada sebelah petang sejak beberapa hari ini banyak membantu meredakan keadaan setelah negara mengalami keadaan berjerebu sejak kebelakangan ini ekoran pembakaran terbuka di negara jiran.
Ketika kemuncak keadaan panas dan berjerebu minggu lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima berpuluh panggilan kecemasan daripada orang ramai mengenai kejadian kebakaran hutan.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Kajicuaca mengeluarkan ramalan kejadian hujan atau hujan berpetir berasingan yang bermula dari kawasan pedalaman ke kawasan pantai menjelang petang.
Hujan atau hujan berpetir berasingan juga diramalkan berlaku pada waktu malam dan keadaan cuaca sedemikian yang berlanjutan pasti banyak memulihkan kualiti udara negara.

FOTOGRAFI FLORA DAN FAUNA DI PULAU TANJONG MAYA - By Kasha (Di Petik Dari Media Permata Pada Sabtu/Ahad, 15/16 Ogos 2009)






TUTONG, Jumaat - Badan Fotografi Persatuan Gemilang (Gemilang Foto) pagi ini mengadakan sesi penggambaran luar bagi merakam flora dan fauna di kawasan Pulau Tanjung Maya.
Pulau Tanjong Maya yang berseberangan dengan Taman Warisan mempunyai keluasan 30 ekar. Sebanyak 1507 pokok sudah dikenal pasti tumbuh di sini. Di antara 114 spesies tumbuh-tumbuhan itu adalah terdiri daripada 154 pokok getah, belunu 90 batang pokok, binjai, durian, kandis, mempelam dan lain-lain.
Tempat ini diura-urakan sebagai muzium pokok buah-buah tempatan. Ia juga akan dijadikan tempat beriadah, tempat penyelidikan dan destinasi eko-pelancongan.
Acara dimulakan dengan senamrobik di kawasan Taman Warisan. Peserta kemudian dibawa menyeberang pulau dengan menggunakan perahu. Ada beberapa pelancong dari Korea juga mengikuti penggambaran sambil membuat penyelidikan tumbuh-tumbuhan yang ada di kawasan ini, yang dipandu oleh Dr. Hamzah Abdul Rahman.
Ikut serta dalam rombongan ini adalah ketua kampung, Suib Md.Yussof. Aktiviti ini bertujuan untuk mengukuhkan silaturahim sesama ahli, memperlihatkan dan menanam kesedaran di kalangan ahli terhadap kemusnahan alam semula jadi, serta menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta.
Aktiviti diakhiri dengan menanam anak pokok buah-buahan.

BRIDEX 2009 TARIK RAMAI PENGUNJUNG - Oleh Hasrulraizan (Dipetik dari Media Permata pada Sabtu/Ahad, 15/16 Ogos 2009)































BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Orang ramai mula berpusu-pusu tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Ekspo Pertahanan Antarabangsa Brunei Darussalam (BRIDEX) Kedua 2009 yang mula dibuka untuk kunjungan orang ramai petang hari ini.
Turut berangkat mengunjungi BRIDEX 2009 di Pusat BRIDEX, Jerudong itu petang hari ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Pusat BRIDEX petang hari ini turut menyaksikan keberangkatan kunjungan secara berasingan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bersama dengan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim.
BRIDEX Kedua 2009 yang disertai oleh 250 syarikat dari 25 buah negara itu telah dibahagikan kepada dua dewan pameran iaitu West Wing dan East Wing, sementara di sebelah luar pula dipamerkan kereta-kereta perisai.
West Wing menempatkan meja pameran bagi Australia, Bulgaria, Kanada, Perancis, Itali, Jepun, Korea, Norway, Pakistan, Turki, United Kingdom dan Amerika Syarikat, manakala East Wing menempatkan meja pameran bagi Brazil, Brunei, China, India, Indonesia, Jerman, Jordan, Malaysia, New Zealand, Poland, Singapura, Sweden dan Thailand.

Friday 7 August 2009

ANAK TEMPATAN PERTAMA JADI KETUA HAKIM NEGARA Oleh Sim Y. H. (Di petik dari Rabu, 5 Ogos 2009)




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Bidang kehakiman dan perundangan Brunei hari ini mencatat sejarah tersendiri dengan perkenan Baginda Sultan bagi pelantikan ke dua jawatan tertinggi bidang itu.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini memperkenankan pelantikan penjawat baru bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara.
Baginda Sultan berkenan berangkat ke majlis mengangkat sumpah bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Mahkamah Besar Brunei yang baru, Dato Seri Paduka Haji Kifrawi Haji Kifli. Majlis berlangsung di Istana Nurul Iman.
Yang turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
Majlis dimulakan dengan pembacaan surat pelantikan oleh Grand Chamberliain Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin Pengiran Haji Abu Bakar.
Dato Seri Paduka Haji Kifrawi yang sebelum ini menjawat jawatan Peguam Negara kemudian mengangkat sumpah ke hadapan majlis Baginda Sultan sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.
Pelantikan Dato Seri Paduka Haji Kofrawi berkuat kuasa mulai 4 Ogos bagi menggantikan Dato Seri Paduka Mohammed Saied yang menyempurnakan tempoh lantikan beliau.
Sejurus selepas majlis mengangkat sumpah, Baginda Sultan berkenan untuk menerima mengadap Dato Seri Paduka Haji Kifrawi.
Dato Seri Paduka Haji Kifrawi mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi anak tempatan pertama dilantik ke jawatan paling tinggi dalam bidang kehakiman negara ini.
Sementara itu, pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri juga memaklumkan Baginda Sultan mengurniakan titah perintah bagi pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Paduka Hajah Hayati Haji Mohd Salleh menjadi Peguam Negara yang baru berkuat kuasa bermula 4 Ogos.
Pelantikan ini juga mencatat sejarah istimewa dalam bidang perundangan apabila Datin Paduka Hajah Hayati menjadi wanita pertama menduduki jawatan Peguam Negara yang sebelum ini dipegang oleh Dato Seri Paduka Haji Kifrawi.

Memiliki arak: Pesara tentera, ejen amah didenda Oleh Sahrol Daud (Di petik dari Media Permata Khamis, 6 Ogos 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Seorang pesara tentera didenda $2,000 atau hukuman penjara 2 bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki beberapa tin dan botol minuman alkohol dan beberapa paket rokok tidak berbayar cukai kastam.
Jafri Haji Abd Kadir, 43, didapati menyimpan 48 tin bir 'Tiger', satu botol 'XXX Tequilla Gold', 3 botol vodka 'Smirnoff' dan 18 paket rokok di sebuah rumah sewa, bilik nombor 2, Simpang 31, Jalan Lampaki di Kampung Mulaut.
Pegawai pendakwa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei berkata defendan mengaku minuman alkohol itu diberi oleh kawannya sebagai pemberian kerana menghantar mereka ke Limbang dan membawa mereka pulang ke Brunei.
Sementara itu, mahkamah yang sama hari ini juga mendenda seorang ejen amah sejumlah $1,200 atau sebulan dalam penjara setelah dia mengaku melakukan kesalahan yang sama.
Hafizah Ramlee/Hamzah, 24, mempunyai dalam simpanannya 12 botol bir 'Heineken', 18 botol pelbagai jenis arak dan 6 karton rokok.
Menurut pendakwa Kastam, semua barangan itu ditemui bersama defendan di dalam sebuah kereta, ketika dia mahu memasuki Brunei melalui Pos Kawalan Kastam Kuala Lurah.

BRUNEI -M'SIA MENTERAI PERJANJIAN PENGECUALIAN CUKAI BERGANDA Oleh Salawati Haji Yahya & Awangku Fairol RMF (Dipetik dari Media Permata,Khamis, 6 Ogos


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Penandatangan Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda yang dimeterai oleh Brunei dan Malaysia hari ini mengukuhkan lagi hubungan kerjasama kedua-dua negara.
Majlis menandatangani Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda berlangsung di Bilik Kabinet, Istana Nurul Iman dan disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Perjanjian itu ditandatangani Menteri Kewangan Kedua, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim yang menandatangani bagi pihak kerajaan sementara Malaysia diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Mustapa Mohamed.
Turut berangkat menyaksikan penandatanganan perjanjian itu, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
Terdahulu dari itu satu kenyataan bersama dikeluarkan sejurus selesai perjumpaan empat mata di antara Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib di ruang lain istana.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib berjumpa dalam lawatan rasmi ke negara ini dan sebagai sebahagian dari Konsultasi Tahunan Pemimpin kali ke-13 di antara Brunei dan Malaysia.
Kedua-dua pemimpin turut memperbaharui komitmen untuk terus mengukuhkan persahabatan yang lama terjalin dan kerjasama erat di antara Brunei dan Malaysia.
Selaku negara berjiran kedua-dua pemimpin menekankan wujudnya ikatan yang terjalin di antara kedua-dua negara melalui warisan dan kebudayaan.
Kedua-dua pemimpin juga mengulangi kepentingan dalam pertukaran surat perjanjian pada 16 Mac 2009 yang mencatat sejarah bagi Brunei dan Malaysia.
Perjanjian itu bertindak sebagai bukti ke arah mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua negara yang membuka jalan bagi kedua-dua pihak untuk maju ke depan dalam memperkembangkan persahabatan yang sedia ada dan kerjasama kepada rakan kongsi strategik.
Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama ke arah perlaksanaan elemen yang dipersetujui dalam dokumen berkenaan di samping keazaman untuk mengukuhkan kerjasama dua hala yang sedia ada serta mengalu-alukan perkembangan dalam ekonomi, perdagangan dan kerjasama pelaburan di antara kedua-dua negara.
Pada perjumpaan itu juga kedua-dua pemimpin melahirkan rasa puas hati terhadap kesimpulan dan perjanjian pendatangan pengecualian cukai berganda (DTA) yang diadakan hari ini dan mereka percaya perjanjian berkenaan dapat memudahkan kerjasama yang luas dalam ekonomi.
Selain itu kedua-dua pemimpin turut menjelaskan akan perlunya meningkatkan promosi pelaburan di antara kedua-dua negara dan menggalakkan orang awam serta sekotor swasta menerokai kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk menganjurkan pelaburan bersama tiga negara.
Di samping itu Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib mengenal pasti potensi untuk meningkatkan kerjasama di antara Brunei dan Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak dalam bidang pertanian, produk halal dan penghasilan minyak kelapa sawit.
Kedua-dua pemimpin juga menggalakkan kerjasama dalam aktiviti yang berhubung dengan tenaga terutama dalam tenaga hidroelektrik dan pembangunan industri hidro-karbon.
Selain itu kedua-dua pemimpin menggariskan untuk meneruskan kerjasama dalam sektor pengangkutan untuk mempromosi perdagangan dan pelaburan serta pelancongan di antara kedua-dua negara termasuk BIMP-EAGA.
Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib juga melahirkan rasa puas hati atas usaha sekarang untuk mempromosi pelancongan di antara kedua-dua negara terutama Brunei dan Sabah begitu juga Brunei dan Sarawak.
Mereka juga mengalu-alukan perjanjian di antara Lembaga Pelancongan Sabah dan Penerbangan Diraja Brunei (RBA) pada Mac 2009 dan baru-baru ini perjanjian perkongsian kod di antara RBA dan Penerbangan Malaysia yang menggariskan kedua-dua negara komited ke arah perkembangan pelancongan termasuk mengukuhkan persahabatan dan persefahaman di antara rakyat Brunei dan Malaysia.
Kedua-dua pemimpin juga turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama dengan kedua-dua pemimpin sebulat suara mengesahkan perjanjian keperluan bekerja rapat dalam mengemukakan krisis ekonomi global dan penyakit pandemik termasuk Influenza A (H1N1).
Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib juga melahirkan rasa puas hati terhadap hasil konsultasi dan percaya mekanisme pengukuhan hubungan dua hala dan kerjasama di samping mengakui rakan kongsi yang erat di antara Brunei dan Malaysia dalam mempromosi keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di rantau dan arena antarabangsa.
Baginda Sultan menyampaikan ucapan tahniah dan harapan kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib dan kerajaan dan rakyat Brunei kepada semua rakyat Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 tahun.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib menyembahkan ucapan terima kasih ke hadapan Baginda Sultan untuk sambutan mesra dan layanan yang diberikan kepadanya dan delegasi dari Malaysia.
Kedua-dua pemimpin bersetuju konsultasi tahunan ke-14 akan mengambil tempat di Malaysia pada 2010.

BANGUNAN HANGUS DI JALAN BUNUT Oleh Sim Y. H. (Di petik dari Media Permata Khamis, 6 Ogos 2009 )


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Asap tebal yang kelihatan sehingga lebih dua kilometer dari sebuah bangunan yang terbakar di Jalan Bunut menggemparkan suasana dan menarik perhatian orang ramai untuk melihat kejadian itu di Kampung Madewa, Bunut awal hari ini.
Kira-kira 30 anggota Bomba dan Penyelamat bertungkus-lumus bertugas untuk mengawal api untuk menyelamatkan tingkat bawah sebuah bangunan yang terbakar.
Panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat pada kira-kira pukul 10.04 pagi dan tiga jentera dari Balai Bomba Beribi dan dua jentera dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dikejarkan ke tempat kejadian.
Anggota Bomba dan Penyelamat dalam operasi itu mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengawal kebakaran dengan operasi diketuai oleh Pegawai Memerintah Operasi A, Penguasa Kanan Awang Tengah.
Salah seorang pekerja yang bertugas di syarikat di bangunan terlibat, Venus Katipunan berkata beliau ternampak asap yang keluar dari bangunan itu dan terus berlari menuju ke rakan kerjanya lalu mengarahkan mereka mengosongkan bangunan berkenaan.
Beliau berkata mereka bergegas keluar dari bangunan itu dan mendapati anggota Bomba dan Penyelamat sudah sampai ke tempat kejadian.
Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan punca serta harta yang musnah dalam kejadian itu masih lagi dalam siasatan.

TIGA MENANG GANJARAN REMITTANCE@SECONDS Oleh Hasrulraizan (Dipetik dari Media Permata Khamis, 6 Ogos 2009)


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Remittance@Seconds dengan Western Union melancarkan program ganjaran bersama pada April 2009 terutama bagi Pemegang Kad Emasnya.
Program itu adalah program pertama di antara banyak program yang ditaja Western Union untuk pelanggan Remittance@Seconds yang menyediakan nilai lebih tinggi dengan memberikan mereka hadiah pasti serta-merta.
Program ganjaran untuk 2009 itu memberikan pemegang kad peluang memenangi hadiah wang tunai dalam jumlah $100, $300 dan $500.
Pelanggan layak mendapat satu kupon undi bertuah dengan menebus jumlah mata iaitu 20 mata untuk kupon perak, 25 mata untuk kupon emas dan 30 mata untuk kupon platinum.
Pemegang kupon perak berpeluang memenangi $100, pemegang kupon emas pula berpeluang memenangi $300, manakala pemegang kupon platinum akan memenangi $500 jika kupon mereka terundi.
Tiga pemenang bagi cabutan suku pertama iaitu Conrado B. Cinco Jr mendapat $500, Merlindo Carido memenangi $300 dan Naveen Kumar Surapaneni memenangi $100 menerima hadiah mereka daripada Pengarah Urusan Remittance@Seconds, Sri Anne Masri di syarikat berkenaan baru-baru ini.
Pelanggan menyatakan kepuasan hati mereka dengan perkhidmatan yang disediakan oleh Remittance@Seconds melalui Western Union kerana cepat dan selamat.
Sri Anne menyatakan Remittance@Seconds menghargai pelanggan yang menggunakan perkhidmatan yang mereka sediakan untuk menghantar wang pendapatan mereka kepada orang yang tersayang di negara mereka secara selamat dan pasti.
Remittance@Seconds yang terletak di Bangunan Maya Puri berdekatan dengan Coffee Bean di ibu negara itu menawarkan perkhidmatan pengiriman wang melalui Western Union, dan dibuka tujuh hari seminggu dari pukul 8.30 pagi hingga 8 malam.

VAN, TRELER BERLANGGAR DI BERIBI Oleh Mohamad Asyramisyanie (Dipetik dari Media Permata Khamis, 6 Ogos 2009 )


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Ketika jalan raya sibuk pada tengah hari ini, ditambah lagi dengan jerebu, jalan raya di Beribi berhampiran dengan sekolah agama Beribi digemparkan dengan kemalangan antara sebuah kereta van dan treler.
Pemandu van yang berumur 19 tahun mendakwa beliau dalam perjalanan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk menghantar borang permohonan pekerjaan ketika kejadian.
Pada waktu yang sama kebetulan polis peronda berada di tempat kejadian dan berjaya mengawal lalu lintas sehingga kereta van yang tersadai di tengah jalan itu berjaya diangkut menggunakan kereta penarik.
Punca dan kerugian masih disiasat, namun apa yang melegakan tiada kehilangan jiwa di laporkan.

MAHU TUBUH BADAN BANTU PEKERJA - Oleh Mohamad Asyramisyanie (Dipetik dari Media Permata ,Khamis, 6 Ogos 2009)


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Sekumpulan warga tempatan yang diketuai W. Boyd berhasrat untuk menubuhkan sebuah perkumpulan yang kukuh bagi membantu pekerja asing di negara ini yang ditindas oleh majikan mereka.
Pada hari ini Boyd mewakili empat rakannya menyampaikan derma kepada sekumpulan pekerja warga Thailand yang kehilangan kerja akibat penutupan syarikat tempat pekerjaan asal mereka di Kilanas.
Udom Yoraban, 46, mewakili rakan-rakannya ketika ditemui hari ini menerima sumbangan oleh kumpulan rakan Boyd yang mendermakan barang makanan seperti beras, gula, garam, minyak, susu, dan makanan tin.
Boyd percaya jika pekerja asing yang menerima layanan buruk pulang ke negara asal mereka pasti akan menjejaskan imej negara ini dan akan menjadi buah mulut.
Katanya: "Jika ini terjadi bukankah negara kita akan mendapat kecacatan imej dan jika ia berlaku pasti orang akan memandang kita sebagai sebuah komuniti yang tidak prihatin dan ini seharusnya kita elakkan."
Beliau yang pernah bertugas dengan Pasukan Polis Diraja Brunei itu pernah juga membantu pekerja yang ditindas dengan tiada gaji, penderaan dan membatu mangsa untuk membuat aduan melalui saluran yang betul kepada pihak berkuasa. Beliau mengharapkan kes yang menimpa 28 pekerja Thailand itu akan diberikan respons positif pihak berkuasa bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil

Thursday 6 August 2009

LOJI TENAGA SOLAR TERBESAR DI ASEAN -Oleh Hajah Saemah Zulkefli (Dipetik dari Media Permata,Khamis, 6 Ogos 2009)


SERIA, Rabu - Sejak sekian lama negara ini hanya bergantung sepenuhnya kepada gas asli dan diesel sebagai bahan api loji penjanaan tenaga bagi memenuhi keperluan yang tinggi untuk elektrik.
Keperluan terhadap tenaga oleh semakin meningkat dan ini bermakan semakin banyak sumber yang bernilai tinggi itu diperlukan secara komited setiap tahun, kata Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Ismail Haji Hashim.
Katanya menyedari perkara itu kerajaan melihat ke arah pelbagai pilihan yang bukan hanya untuk membolehkan negara mempunyai tenaga campuran yang lebih meluas dan pelbagai tetapi juga keselesaan dalam keselamatan tenaga dan ketahanannya.
Pembinaan Loji Tenaga Photovoltaic boleh dilihat sebagai langkah penting ke arah pencapaian matlamat itu, katanya ketika berucap melancarkan acara pecah tanah Projek Tenaga Suria (TSB) di Loji TSB berdekatan Stesen Jana kuasa Seria dekat sini hari ini.
Sistem itu akan menjadi Sistem PV yang terbesar di Asia Tenggara dan dijangka akan memulakan operasinya pada 2010.
Memorandum persefahaman bagi Projek TSB ditandatangani pada Ogos 2008 antara Bahagian Tenaga Jabatan Perdana Menteri dengan Mitsubishi Corporation (MC).
Projek itu memulakan gabungan projek demonstrasi photovoltaic solar (PV), berikutan lengkapnya spesifikasi teknikal sistem PV berlaku pada Januari 2009, Sistem Tenaga Japan AE (JAEPS) telah melantik MC sebagai kontraktor utama menjalankan projek itu pada dasar serah kunci.
Sistem PV akan mengangkat nominal kapisiti 1.2 MW, mengandungi enam jenis modul terkini yang berbeza dan modul berkenaan akan dipasangkan di kawasan loji Stesen Jana kuasa Seria di Daerah Belait dan disambungkan kepada grid elektrik yang ada sekarang.
Dengan penggunaan Sistem PV itu Bahagian Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan MC akan bersama melakukan ujian dan penilaian ke atas sifat pencapaian bagi setiap modul PV berkenaan bagi melihat ketahanan dan kebolehlaksanaannya dalam keadaan iklim tropikal di Brunei.