Monday 17 August 2009

MEMBACA KUNCI KEPADA KEMAJUAN DANPEMBANGUNAN BANGSA Oleh Imelda Farrah Zohre HA (Dipetik Dari Media Permata Jumaat, 14 Ogos 2009)



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Jika budaya membaca wujud pada sesuatu bangsa pasti bangsa berkenaan akan maju dan membangun kerana membaca adalah kunci kepada kemajuan dan pembangunan.
Dalam pengertian yang lebih luas membaca adalah kunci kepada pembinaan tamadun sesuatu bangsa, kata Pemangku Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abd Rahman.
"Jika kita ingin menjadi bangsa yang besar, dihormati dan disegani maka kita perlu menjadikan membaca itu sebagai suatu budaya yang kuat," jelas beliau ketika berucap pada Peraduan Mari Bercerita Peringkat Negara 2009 hari ini.
Katanya jika diperhatikan setiap bangsa yang maju di dunia pada hari ini seperti masyarakat Jepun dan di barat kebanyakan individunya rajin membaca di mana-mana saja.
Beliau berkata melalui pembacaan, pembaca akan mendapat pelbagai informasi dan ilmu pengetahuan yang berharga sekali gus menjadi punca segala keyakinan hidup di dunia dan di akhirat.
Menurutnya membaca bukan setakat membaca yang kosong tetapi membaca sambil berfikir dan berfikir pula perlu dengan minda yang kritis iaitu memahami, menganalisis dan menyoal balik apa yang dibaca sehingga membolehkan seseorang itu merumuskan dan membutirkan semula bahan yang sudah dibaca itu malah mungkin boleh mencambahkan idea terbaru yang lebih bermutu, jelasnya lagi.
Menurutnya kaedah seperti itu perlu diterapkan kepada pelajar negara ini sama ada yang masih kecil atau remaja termasuk penuntut di pusat pengajian tinggi supaya rajin membaca dan kelak menjadi intelektual yang sebenar, dinamik, membina, membangun dan positif.
"Dalam mempromosikan budaya membaca tentu pula perlu disediakan bahan bacaan yang menarik dan mudah diperoleh di pasaran baik dalam aliran Melayu, Inggeris atau Arab atau apa saja bahasanya," jelas beliau.
Beliau seterusnya menasihati jika mencari bahan bacaan dalam aliran Melayu di samping mendapatkan bahan bacaan dalam tulisan Rumi juga tidak dilupakan bahan bacaan dalam tulisan Jawi yang sangat mustahak untuk dipelihara.
Ini kerana, tambahnya lagi, tulisan itu berdasarkan huruf al-Quran dan Al-Sunah yang pada masa ini penghayatan terhadapnya semakin pudar dan semakin kurang digunakan orang Melayu sedangkan tulisan Jawi adalah lambang yang jelas kepada kemelayuan dan keislaman.
"Bagi saya tulisan Jawi adalah satu mutiara anugerah Allah kepada bangsa Melayu yang sangat berharga kerana tulisan berkenaan warisan agung yang ada kaitan dengan agama dan akidah yang kita anuti tetapi kebanyakan kita tidak menyedari hakikat luhur ini ekoran globalisasi," tambah beliau lagi.
Menurutnya perpustakaan yang lengkap dan kondusif di sekolah dan dalam masyarakat di kota mahupun di desa perlu juga disediakan dengan mengadakan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi membeli bahan bacaan dan infrastruktur yang diperlukan itu.
Beliau menambah kata semua itu adalah pelaburan jangka panjang yang hasilnya tidak akan dapat dilihat dengan segera.

No comments:

Post a Comment