Monday 17 August 2009

UDARA KINI MAKIN BAIK Oleh Hasrulraizan (Dipetik dari Media Permata Sabtu/Ahad, 15/16 Ogos 2009

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Brunei pada masa ini masih lagi mengalami keadaan kualiti udara yang berjerebu, namun bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) pada pukul 6 petang hari ini bagi keempat-empat daerah adalah di tahap baik.
Walaupun catatan PSI bagi Belait adalah 17, Brunei dan Muara, 23, Tutong, 27 dan Temburong, 33 adalah di tahap baik, namun bacaan PSI dari semua stesen pemantauan kualiti udara (PM10) di keempat-empat daerah itu masih lagi tinggi berbanding hari biasa.
Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dalam kenyataannya hari ini berkata ia akan sentiasa memantau keadaan kualiti udara dan memberi maklumat dan nasihat yang bersesuaian mengenai dengan kualiti udara dari semasa ke semasa, melalui rangkaian radio dan televisyen.
JASTRE turut menggesa orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti udara, dan pada masa sama JASTRE juga akan berterusan memantau keadaan kualiti udara dan aktiviti pembakaran terbuka di negara ini.
Sementara itu, hujan lebat yang mula turun pada sebelah petang sejak beberapa hari ini banyak membantu meredakan keadaan setelah negara mengalami keadaan berjerebu sejak kebelakangan ini ekoran pembakaran terbuka di negara jiran.
Ketika kemuncak keadaan panas dan berjerebu minggu lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima berpuluh panggilan kecemasan daripada orang ramai mengenai kejadian kebakaran hutan.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Kajicuaca mengeluarkan ramalan kejadian hujan atau hujan berpetir berasingan yang bermula dari kawasan pedalaman ke kawasan pantai menjelang petang.
Hujan atau hujan berpetir berasingan juga diramalkan berlaku pada waktu malam dan keadaan cuaca sedemikian yang berlanjutan pasti banyak memulihkan kualiti udara negara.

No comments:

Post a Comment