Friday 7 August 2009

BRUNEI -M'SIA MENTERAI PERJANJIAN PENGECUALIAN CUKAI BERGANDA Oleh Salawati Haji Yahya & Awangku Fairol RMF (Dipetik dari Media Permata,Khamis, 6 Ogos


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Penandatangan Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda yang dimeterai oleh Brunei dan Malaysia hari ini mengukuhkan lagi hubungan kerjasama kedua-dua negara.
Majlis menandatangani Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda berlangsung di Bilik Kabinet, Istana Nurul Iman dan disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Perjanjian itu ditandatangani Menteri Kewangan Kedua, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim yang menandatangani bagi pihak kerajaan sementara Malaysia diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Mustapa Mohamed.
Turut berangkat menyaksikan penandatanganan perjanjian itu, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
Terdahulu dari itu satu kenyataan bersama dikeluarkan sejurus selesai perjumpaan empat mata di antara Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib di ruang lain istana.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib berjumpa dalam lawatan rasmi ke negara ini dan sebagai sebahagian dari Konsultasi Tahunan Pemimpin kali ke-13 di antara Brunei dan Malaysia.
Kedua-dua pemimpin turut memperbaharui komitmen untuk terus mengukuhkan persahabatan yang lama terjalin dan kerjasama erat di antara Brunei dan Malaysia.
Selaku negara berjiran kedua-dua pemimpin menekankan wujudnya ikatan yang terjalin di antara kedua-dua negara melalui warisan dan kebudayaan.
Kedua-dua pemimpin juga mengulangi kepentingan dalam pertukaran surat perjanjian pada 16 Mac 2009 yang mencatat sejarah bagi Brunei dan Malaysia.
Perjanjian itu bertindak sebagai bukti ke arah mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua negara yang membuka jalan bagi kedua-dua pihak untuk maju ke depan dalam memperkembangkan persahabatan yang sedia ada dan kerjasama kepada rakan kongsi strategik.
Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama ke arah perlaksanaan elemen yang dipersetujui dalam dokumen berkenaan di samping keazaman untuk mengukuhkan kerjasama dua hala yang sedia ada serta mengalu-alukan perkembangan dalam ekonomi, perdagangan dan kerjasama pelaburan di antara kedua-dua negara.
Pada perjumpaan itu juga kedua-dua pemimpin melahirkan rasa puas hati terhadap kesimpulan dan perjanjian pendatangan pengecualian cukai berganda (DTA) yang diadakan hari ini dan mereka percaya perjanjian berkenaan dapat memudahkan kerjasama yang luas dalam ekonomi.
Selain itu kedua-dua pemimpin turut menjelaskan akan perlunya meningkatkan promosi pelaburan di antara kedua-dua negara dan menggalakkan orang awam serta sekotor swasta menerokai kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk menganjurkan pelaburan bersama tiga negara.
Di samping itu Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib mengenal pasti potensi untuk meningkatkan kerjasama di antara Brunei dan Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak dalam bidang pertanian, produk halal dan penghasilan minyak kelapa sawit.
Kedua-dua pemimpin juga menggalakkan kerjasama dalam aktiviti yang berhubung dengan tenaga terutama dalam tenaga hidroelektrik dan pembangunan industri hidro-karbon.
Selain itu kedua-dua pemimpin menggariskan untuk meneruskan kerjasama dalam sektor pengangkutan untuk mempromosi perdagangan dan pelaburan serta pelancongan di antara kedua-dua negara termasuk BIMP-EAGA.
Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib juga melahirkan rasa puas hati atas usaha sekarang untuk mempromosi pelancongan di antara kedua-dua negara terutama Brunei dan Sabah begitu juga Brunei dan Sarawak.
Mereka juga mengalu-alukan perjanjian di antara Lembaga Pelancongan Sabah dan Penerbangan Diraja Brunei (RBA) pada Mac 2009 dan baru-baru ini perjanjian perkongsian kod di antara RBA dan Penerbangan Malaysia yang menggariskan kedua-dua negara komited ke arah perkembangan pelancongan termasuk mengukuhkan persahabatan dan persefahaman di antara rakyat Brunei dan Malaysia.
Kedua-dua pemimpin juga turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama dengan kedua-dua pemimpin sebulat suara mengesahkan perjanjian keperluan bekerja rapat dalam mengemukakan krisis ekonomi global dan penyakit pandemik termasuk Influenza A (H1N1).
Baginda Sultan dan Datuk Seri Najib juga melahirkan rasa puas hati terhadap hasil konsultasi dan percaya mekanisme pengukuhan hubungan dua hala dan kerjasama di samping mengakui rakan kongsi yang erat di antara Brunei dan Malaysia dalam mempromosi keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di rantau dan arena antarabangsa.
Baginda Sultan menyampaikan ucapan tahniah dan harapan kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib dan kerajaan dan rakyat Brunei kepada semua rakyat Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 tahun.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib menyembahkan ucapan terima kasih ke hadapan Baginda Sultan untuk sambutan mesra dan layanan yang diberikan kepadanya dan delegasi dari Malaysia.
Kedua-dua pemimpin bersetuju konsultasi tahunan ke-14 akan mengambil tempat di Malaysia pada 2010.

No comments:

Post a Comment