Monday 17 August 2009

SUNGAI LIANG SEPERTI BSB Oleh Hajah Saemah Zulkefli (Di Petik Dari Media Permata pada Jumaat, 14 Ogos 2009)


SERIA, Khamis - Perancangan jangka panjang Daerah Belait akan menyaksikan kemunculan Sungai Liang sebagai Pusat Pertumbuhan baru seperti Bandar Seri Begawan yang diharapkan mengimbangi pembangunan keempat-empat daerah di negara ini.
Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan Haji Mohd Rozan Haji Mohd Yunos hari ini berkata terdapat juga cadangan pembaikan infrastruktur fizikal dan sosial, unjuran keperluan perumahan, sekolah dan kemudahan awam.
Ketika berucap melancarkan Pameran Pelan Perancangan Daerah Belait anjuran Jabatan Perancang Bandar dan Desa yang berlangsung di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), katanya penyediaan pelan terbabit turut membuat unjuran pertambahan penduduk daerah Belait daripada 63,900 orang pada 2006 kepada 86,5000 orang menjelang 2025.

Beliau menambah kata dengan pertumbuhan itu jangkaan keperluan perumahan akan meningkat kira-kira 40 peratus daripada jumlah sekarang, tambahnya sambil menjelaskan Jabatan Perancang Bandar dan Desa melalui konsultan jurutera tempatan sudah menyiapkan Pelan Daerah Belait.
Katanya perancangan pelan yang disediakan untuk semua daerah membabitkan empat peringkat penyediaan yang bermula dengan pelan permulaan, pelan bahagian, pelan cadangan dan pelan strategi yang sekarang ini pada peringkat penyediaan draf terakhir.
Dalam perancangan berkenaan orang ramai, agensi kerajaan dan pemegang teras terutama penduduk daerah Belait juga terbabit dalam perundingan mengikut peringkat penyediaan pelan, dalam dialog dan melalui pameran yang dibukakan kepada orang ramai selama empat hari bermula hari ini di OGDC.
Dalam pelan induk yang dipamerkan itu, Mukim Liang bakal memiliki loji dan jeti BLNG selain menjadi hab industri petrokimia selain memiliki pusat penyelidikan dan sains melalui Pusat Biodiversiti Tropika.
Pelan itu juga memasukkan rancangan pembinaan sebuah lapangan terbang dan lebuh raya di Mukim Bukit Sawat yang diklasifikasikan sebagai program jangka panjang selain turut memiliki Pusat Penyelidikan Perhutanan.
Haji Mohd Rozan dalan ucapan-nya juga berkata dalam memajukan kawasan pedalaman pula, pelan berkenaan mengenal pasti beberapa kawasan perkampungan seperti Labi dan Sungai Mau sebagai Pusat Luar Bandar yang boleh menjana ekonomi di kawasan kampung.
Pelan berkenaan, katanya mengenal pasti dasar guna tanah utama bagi memastikan strategi pembangunan dan pemeliharaan atau penyimpanan khazanah hutan negara dan kawasan alam sekitar sensitif supaya sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang.
Pameran itu diadakan untuk memaklumkan kepada umum strategi perancangan untuk daerah Belait di samping untuk mendapat maklum balas daripada orang ramai terutama penduduk setempat berhubung perancangan itu yang boleh dijadikan garis panduan bagi pembangunan daerah Belait sehingga 2025.
Antara yang dipamerkan ialah maklumat mengenai strategi pembangunan dan cadangan guna tanah serta penempatan penduduk seluruh daerah Belait selain mengenal pasti dasar utama guna tanah ke arah memastikan strategi pembangunan dan pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar untuk masa hadapan.
Pameran yang dibuka kepada orang ramai daripada pukul 9.30 hingga 4.30 petang itu akan berakhir pada 16 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment