Wednesday 22 July 2009

Fotografi dan riadah berjalan kaki menyeronokkan Oleh Norjanah H J (Dipetik dari Media Permata,Selasa,21 Julai 2009)


KUALA BELAIT - Satu aktiviti riadah berjalan kaki sambil melakukan hobi mengambil gambar telah diadakan di sini baru-baru ini.
Aktiviti yang diberi nama "World Wide Photo Walk" merupakan kali pertama diadakan di Negara Brunei Darussalam, bersama lebih 27 ribu jurugambar dari 900 bandar raya seluruh dunia. Di Brunei Darussalam, ada dua tempat aktiviti itu dijalankan iaitu Bandar Seri Begawan dan Daerah Belait.
Tujuan utama aktiviti ini ialah sebagai acara sosial fotografi di mana para jurugambar atau siapa saja yang berminat menyertainya berkumpul, biasanya di sesuatu tempat atau bandar dan pekan, berjalan santai, mengambil gambar, dan beramah mesra sesama jurugambar yang menyertainya.
Di daerah Belait ia bermula jam 7 pagi, bermula dari Tugu Cendera Kenangan, menuju ke Jalan Sungai, Jalan Pretty, Jalan Mckerron, terus ke Jalan Carey, belok ke Jalan Pahlawan dan terakhir melintasi ke Jalan Maharaja Anakanda sebelum sampai ke tempat terakhir di Kafe dan Restoran Seri Kandi.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam yang meliputi 4.3 kilometer.
Di tempat perkumpulan akhir itu, para peserta sama-sama menyaksikan gambar-gambar yang telah diambil sepanjang perjalanan, dan dapat bertukar tukar fikiran serta mendapat teman baru dalam seni fotografi.
Hasil penggambaran itu boleh dijadikan bahan bagi penyertaan dalam peraduan yang dibuka kepada semua peserta dari seluruh dunia.
Ini secara langsung akan dapat memperkenalkan keindahan Negara kita di mata dunia.
Awda boleh melayari laman web aktiviti ini di http://worldwidephotowalk.com/

No comments:

Post a Comment