Monday 20 July 2009

Polis marin temui dua beranak selamat oleh Imelda Farrah Zohre HA (Dipetik dari Media Permata pada Isnin, 20 Julai 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Polis Marin menemui semula dua anak-beranak dalam keadaan selamat selepas anggota keluarga melaporkan mereka tidak pulang-pulang selepas keluar menangkap ikan.
Ketika perahu mereka dijumpai di kawasan Sungai Bunga, polis marin mendapati perahu kedua-dua beranak itu mengalami kerosakan enjin yang kemudiannya ditunda oleh anggota-anggota polis marin sehingga sampai ke rumah mereka.
Ketika dijumpai mereka dalam keadaan baik dan tiada apa-apa yang membimbangkan dan pegawai penyiasat polis marin bertugas mengambil keterangan dan data peribadi berserta gambar perahu mereka, kata polis marin dalam kenyataan mereka hari ini.
Hasil siasatan tidak ada unsur-unsur jenayah atau perkara yang diragui berlaku hanya kerana kerosakan enjin perahu maka mereka tidak dapat balik ke rumah.
Kedua-dua anak-beranak itu keluar menangkap ikan pada Sabtu di kawasan Pulau Tanjung Kerasik berdekatan dengan Pulau Kitang tetapi tidak pulang-pulang sehingga anggota keluarga menghubungi talian kecemasan 993 Polis Marin.
Aduan yang diterima dari Saili Haji Matarsad dari Kampung Tamoi Tengah melaporkan abangnya dan anak abangnya belum pulang dari laut dari jam 8 pagi hingga sekarang.
Haji Othman Matarsad, 63, bersama anaknya Affendi, 32, turun ke laut untuk menangkap ikan menggunakan perahu jenis fiberglass warna putih di kawasan Pulau Tanjung Kerasik berdekatan Pulau Kitang, Sungai Brunei,
Setelah lewat malam mereka masih belum pulang dari menangkap ikan menyebabkan anggota keluarga merasa bimbang dan khuatir akan keselamatan mereka yang kemudiannya melaporkan ke pihak polis untuk meminta bantuan dan tindakan selanjutnya.
Hasil laporan itu, anggota Polis Main, Lans Koperal Haji Sahmbari Haji Lias dan Konstabel Noradie Md Daud membuat rondaan di kawasan zon Sungai Brunei menggunakan Bot Polis PDB 71 dan menemui perahu mangsa.

No comments:

Post a Comment