Tuesday 7 July 2009

Wanita Brunei dipenjarakan seumur hidup Oleh Salawati Haji Yahya (Dipetik dari Media PermataSelasa, 7 Julai 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Seorang wanita warga Brunei berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup setelah didapati salah membawa masuk dadah jenis heroin seberat 894.05 gram ke China pada 11 Januari. Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam kenyataannya hari ini menjelaskan wanita terbabit dijatuhi hukum oleh Mahkamah Shanghai No.1, China pada 1 Jun. Wanita itu ditahan oleh pihak Biro Anti Penyeludupan, Kastam Shanghai setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong dengan menggunakan penerbangan MH388 dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Ketika pemeriksaan oleh penguat kuasa di sana, mereka menemui satu bungkusan kecil mengandungi dadah Heroin di bawah lapisan beg pakaian yang dibawa oleh wanita berkenaan.
Kegiatan ini dipercayai didalangi oleh satu sindiket dadah antarabangsa warga Afrika yang beroperasi menggunakan taktik "chatting" di Internet dan wanita itu dipercayai membuat pertemuan di Malaysia.
Sementara itu dalam satu kejadian berlainan, seorang lagi lelaki warga Brunei berusia 29 tahun juga ditahan oleh pihak berkuasa China pada 23 Jun setelah ditahan oleh pihak Biro Anti Penyeludupan, Kastam Tianjin, China.
Lelaki terbabit ditahan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Binhai, Tianjin dengan menaiki pesawat D72612 dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Dalam tangkapan tersebut, lelaki terbabit didapati membawa masuk dadah jenis Heroin seberat 995.72 gram yang disembunyikan dalam lapisan dinding beg pakaian yang juga dipercayai perancangan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di luar negara.
Lelaki berkenaan kini ditahan oleh pihak berkuasa China di Tianjin untuk siasatan.
Sementara itu, dua kes lagi yang melibatkan tangkapan masing-masing warga Brunei di Santiago, Chile dan Sydney Australia masih dalam siasatan pihak berkuasa di sana.
BKN mengingatkan kepada orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa mengingatkan dan memerhatikan anak-anak mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan janji dan tawaran pekerjaan atau melancong keluar negara yang diberikan oleh orang yang tidak dikenali.
Orang ramai pula diminta melaporkan maklumat yang mencurigakan dan dipercayai berhubung kait dengan kegiatan dadah dengan menghubungi talian 2448877 pada waktu bekerja dan talian 8777444 selepas waktu bekerja.
Biro Kawalan Narkotik akan sentiasa meningkatkan usaha bagi memantau terhadap apa jua kegiatan penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Brunei.

No comments:

Post a Comment