Monday 20 July 2009

SCP beri peluang miliki simpanan di usia persaraan Oleh Sim Y. H. dan Yusrin Junaidi (Dipetik dar Media Permata ,Isnin ,20 Julai 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP) memberikan peluang kepada rakyat dan penduduk tetap Brunei untuk mempunyai simpanan serta sumber kewangan yang lebih bila mencapai usia persaraan 60 tahun.
"SCP memberikan peluang kepada saya untuk mendapat jaminan yang dalam persaraan saya nanti, saya akan mempunyai sumber kewangan tambahan sekurang-kurangnya $400 iaitu 150 dari SCP dan $250 dari bayaran pencen tua setiap bulan." Dengan adanya sumber kewangan bulanan itu, zaman persaraan akan lebih terjamin dan akan memberikan ketenangan jiwa untuk menghadapi zaman persaraan," kata seorang kakitangan sektor swasta, Kok Hua ketika ditemu bual mengenai SCP yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Titah Sempena Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Baginda ke-63.
Kok Hua juga menjelaskan SCP memberikan peluang beliau mempunyai sumber simpanan kewangan tambahan bagi zaman persaraan serta memberikan jaminan tanggungan beliau juga akan menikmati bayaran Skim SCP khas bagi tanggungan. Di samping itu juga beliau turut menyatakan persetujuan dengan usaha kerajaan menetapkan Skim SCP adalah dimestikan bagi semua rakyat dan penduduk tetap Brunei yang bekerja di sektor awam dan swasta serta juga mereka yang berkhidmat dalam sektor informal.
Skim SCP akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 dan menjadi skim persaraan tambahan kepada Skim Tabung Amanah Pekerja dengan SCP mempunyai objektif untuk memastikan semua peserta Skim SCP menerima bayaran pendapatan bulanan minimum $150 setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu 60 tahun. Menerusi skim itu, peserta dijamin menerima bayaran $150 dan di campur bayaran pencen tua, $250 yang dihulurkan oleh kerajaan, pesara akan menerima pendapatan minimum sejumlah keseluruhan $400 sebulan. SCP juga memberi pembayaran manfaat survivorship bagi menjamin kesejahteraan tanggungan jika peserta SCP meninggal dunia sebelum bersara mandatori. Skim SCP dimestikan kepada semua rakyat dan penduduk tetap Brunei yang berkhidmat di sektor awam, swasta dan sektor informal. Mereka berkhidmat di Sektor Informal, pada peringkat awal diiktiraf sebagai rakyat dan penduduk tetap Brunei yang sudah berusia 18 tahun dan ke atas yang bekerja atau membuat perniagaan secara persendirian untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan bagi diri sendiri atau untuk menyara anggota keluarga seperti petani, nelayan dan pengusaha kecil. Kelayakan mereka untuk diperakui sebagai golongan informal adalah tertakluk kepada pertimbangan Lembaga SCP. SCP adalah skim defined contribution yang menghendaki setiap peserta dan majikan untuk membuat caruman yang perlu dibuat secara bulanan menurut undang-undang dengan kadar caruman bulanan ditetapkan iaitu minimum 3.5 peratus bagi peserta dan 3.5 peratus daripada majikan iaitu 7 peratus caruman minimum daripada gaji bulanan peserta.Caruman yang dibuat akan dibahagikan bagi dua tujuan utama skim iaitu enam peratus caruman dimasukkan ke dalam akaun SCP peserta dan satu peratus untuk pembayaran bagi perlindungan survivorship. Bagaimanapun, jumlah caruman minimum adalah sebanyak $35 sebulan iaitu $17.50 bagi setiap peserta dan $17.50 oleh majikan mereka dengan perkiraan mengambil andaian gaji bulanan yang diterima peserta adalah $500.Jika peserta mempunyai gaji lebih rendah daripada $500 dan berdasarkan kepada kadar caruman 3.5 peratus dengan kadar caruman sebulan di bawah $17.50, maka pihak kerajaan akan memberi caruman bantuan untuk mencukupkan jumlah caruman kepada $17.50.Pada masa sama pihak majikan masih lagi dikehendaki membayar caruman minimum yang sama iaitu $17.50.
Untuk tidak membebankan majikan terutama syarikat perniagaan, perkiraan kadar caruman maksimum yang dibuat majikan ialah 3.5 peratus daripada $2,800 walaupun terdapat pekerja mereka yang menerima gaji bulan melebihi $2,800 sebulan.Bagi rakyat dan penduduk tetap yang termasuk dalam takrif sektor informal, mereka dikehendaki mencarum $17.50 setiap bulan dan kerajaan akan memberikan bantuan mencarum $17.50 bagi menjadikan jumlah caruman minimum bagi setiap peserta dari kumpulan sektor informal berjumlah $35 sebulan. Bagaimana pun peserta berkenaan juga boleh memilih mencarum lebih $17.50 sebulan jika berhasrat berbuat sedemikian untuk membolehkan menerima pendapatan persaraan lebih tinggi setelah mencapai persaraan mandatori iaitu genap umur 60 tahun.
Syarat kelayakan yang perlu dipenuhi setiap peserta untuk menikmati manfaat daripada Skim SCP adalah seperti setiap peserta hendaklah membuat caruman secara berterusan atau konsisten dari mula memasuki alam pekerjaan dan menyertai Skim SCP sekurang-kurang selama 35 tahun dan bagi generasi peralihan, mereka hendaklah membuat caruman sebaik sahaja Skim SCP dikuatkuasakan. Mereka ini akan layak untuk menerima insentif yang digelar 'Catch Up' atau bayaran caruman secara kebelakangan daripada kerajaan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.Generasi peralihan adalah didefinisikan sebagai rakyat dan penduduk tetap negara ini yang sedang berkhidmat di sektor awam dan swasta pada masa ini dan menyertai Skim TAP sehingga Skim SCP dikenalkan.
Bagaimanapun jika setelah membuat caruman tujuh peratus daripada gaji bulanan secara berterusan selama 35 tahun, peserta itu masih tidak mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi di dalam skim SCP apabila mencapai umur persaraan mandatori genap 60 tahun maka mana-mana kekurangan akan dibiayai oleh kerajaan. Manfaat Survivorship adalah satu komponen yang ditawarkan oleh Skim SCP ini yang bertujuan menjamin kesejahteraan hidup tanggungan peserta Skim SCP (isteri dan anak-anak) apabila peserta Skim SCP meninggal dunia. Manfaat itu mengandungi dua komponen iaitu Manfaat Perlindungan 'Survivorship' dan Manfaat Pencen Skim SCP khas bagi tanggungan. Jumlah manfaat 'Survivorship' yang diberikan kepada tanggungan peserta adalah berbeza antara peserta Skim SCP yang meninggal dunia sebelum atau setelah bersara. Jika peserta meninggal dunia sebelum bersara mandatori, maka tanggungan peserta akan menerima manfaat perlindungan 'Survivorship' dan manfaat pencen Skim SCP khas bagi tanggungan. Manakala jika peserta meninggal dunia setelah mencapai umur persaraan mandatori, tanggungan peserta akan hanya menerima manfaat Skim SCP khas bagi tanggungan.
Jika peserta Skim SCP meninggal dunia sebelum tarikh persaraan mandatori, balu dan anak-anak (di bawah 21 tahun) peserta akan menerima manfaat perlindungan 'Survivorship' bulanan dengan jumlah minimum sebanyak $400 saja selama 15 tahun dari tarikh peserta berkenaan meninggal dunia.Sekiranya balu kepada peserta juga meninggal dunia, maka bayaran manfaat perlindungan 'Survivorship' berkenaan akan dibuat kepada anak-anak peserta (di bawah 21 tahun) bagi baki tempoh 15 tahun selepas tarikh peserta berkenaan meninggal dunia. Jika balu peserta yang meninggal berkenaan berkahwin lagi, maka manfaat perlindungan 'Survivorship' tidak lagi diberikan kepada balu berkenaan tetapi akan dipindahkan kepada anak peserta yang layak.
Di samping menerima perlindungan 'Survivorship', balu peserta yang meninggal dunia juga menerima manfaat pencen Skim SCP khas bagi tanggungan. Sekiranya isteri atau suami peserta meninggal dunia, manfaat pencen Skim SCP khas itu akan dipindahkan kepada anak-anak peserta. Jumlah manfaat pencen Skim SCP khas bagi tanggungan itu akan dibayar secara bulanan dan adalah tertakluk kepada baki akaun skim SCP peserta seta umut tanggungan peserta.'Catch Up' adalah bayaran caruman yang dibuat secara kebelakangan yang akan dihulurkan oleh kerajaan kepada generasi peralihan iaitu rakyat dan penduduk tetap negara ini yang sedang berkhidmat di sektor awam dan swasta pada masa ini dan menyertai Skim TAP sehingga Skim SCP dikenakan. Insentif ' itu bertujuan untuk memastikan setiap peserta mempunyai simpanan yang mencukupi sebelum bersara mandatori untuk mereka menikmati manfaat Skim SCP.
Ini adalah kerana terdapat sebilangan peserta tidak dapat membuat caruman selama 35 tahun iaitu tempoh minimum yang diperlukan disebabkan mencapai umur lebih 25 tahun apabila Skim SCP berkuat kuasa.Jumlah 'Catch Up' itu akan dibayar secara 'front loading' kepada akaun skim SCP peserta apabila Skim ini mula berkuasa kuasa, seakan-akan telah membuat caruman sejak ia berumur 25 tahun. Jumlah Catch Up yang akan dihulurkan kepada setiap peserta dalam golongan generasi peralihan ini adalah sebanyak $30 sebulan sejak menjadi ahli TAP secara sama rata tanpa mengambil kira gaji bulanan ahli. Jika peserta berkenaan menjadi ahli TAP lebih awal daripada umur 25 tahun, Catch Up hanya akan dibayar mulai dia mencapai umur 25 tahun.
Ini adalah mengambil kira tempoh masa pengumpulan (Vesting Period) yang optimum untuk mencapai matlamat SCP adalah dengan mencarum jumlah caruman minimum konsisten sekurang-sekurangnya 35 tahun atau bermula sejak peserta berumur 25 tahun. Pemberian Catch Up ini juga akan dilanjutkan kepada semua peserta dari sektor informal pada jumlah yang sama dengan generasi peralihan tertakluk kepada pertimbangan Lembaga SCP nanti dan skim itu tidak membenarkan mana-mana pengeluaran wang dibuat daripada simpanan SCP sebelum peserta mencapai umur persaraan mandatori.

No comments:

Post a Comment