Wednesday 22 July 2009

Fotografi dan riadah berjalan kaki menyeronokkan Oleh Norjanah H J (Dipetik dari Media Permata,Selasa,21 Julai 2009)


KUALA BELAIT - Satu aktiviti riadah berjalan kaki sambil melakukan hobi mengambil gambar telah diadakan di sini baru-baru ini.
Aktiviti yang diberi nama "World Wide Photo Walk" merupakan kali pertama diadakan di Negara Brunei Darussalam, bersama lebih 27 ribu jurugambar dari 900 bandar raya seluruh dunia. Di Brunei Darussalam, ada dua tempat aktiviti itu dijalankan iaitu Bandar Seri Begawan dan Daerah Belait.
Tujuan utama aktiviti ini ialah sebagai acara sosial fotografi di mana para jurugambar atau siapa saja yang berminat menyertainya berkumpul, biasanya di sesuatu tempat atau bandar dan pekan, berjalan santai, mengambil gambar, dan beramah mesra sesama jurugambar yang menyertainya.
Di daerah Belait ia bermula jam 7 pagi, bermula dari Tugu Cendera Kenangan, menuju ke Jalan Sungai, Jalan Pretty, Jalan Mckerron, terus ke Jalan Carey, belok ke Jalan Pahlawan dan terakhir melintasi ke Jalan Maharaja Anakanda sebelum sampai ke tempat terakhir di Kafe dan Restoran Seri Kandi.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam yang meliputi 4.3 kilometer.
Di tempat perkumpulan akhir itu, para peserta sama-sama menyaksikan gambar-gambar yang telah diambil sepanjang perjalanan, dan dapat bertukar tukar fikiran serta mendapat teman baru dalam seni fotografi.
Hasil penggambaran itu boleh dijadikan bahan bagi penyertaan dalam peraduan yang dibuka kepada semua peserta dari seluruh dunia.
Ini secara langsung akan dapat memperkenalkan keindahan Negara kita di mata dunia.
Awda boleh melayari laman web aktiviti ini di http://worldwidephotowalk.com/

KERETA HILANG DI TEMPAT LETAK KERETA HOSPITAL RIPAS Oleh Imelda Farrah Zohre HA (Di petik Dri MEDIA PERMATA,21 Julai 2009

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Seorang lelaki warga tempatan terkejut apabila mendapati kereta beliau yang diletakkan di kawasan letak kereta awam di Hospital RIPAS, petang kelmarin tiada di tempat letak kereta berkenaan.
Bukan hanya kereta hilang tetapi semua dokumen penting dan berharga yang ditinggalkan di kereta juga turut hilang.
Menurut sumber yang dipercayai, beliau yang tiba di hospital kira-kira pukul 7.30 malam melawat keluarga yang sakit berjaya mendapat ruang letak kereta bertentangan dengan bangunan wad hospital dan mengakhiri lawatan beliau selepas pukul 9 malam.
Sejurus selepas beliau kembali di ruang letak kereta itu, beliau mendapati keretanya hilang dan cuba mencari kereta Toyota beliau di kawasan berdekatan tetapi tidak mempunyai sebarang tanda dan beliau segera melaporkan kepada pengawal keselamatan yang bertugas.
Pengawal keselamatan hospital RIPAS yang kemudiannya mengikuti prosedur lalu melaporkan dengan segera kepada polis yang tiba di tempat kejadian untuk mengendalikan penyiasatan dan bertanyakan beberapa soalan kepada mangsa.
Lelaki yang menyangka adalah selamat untuk meletakkan kereta beliau di kawasan letak kereta berkenaan juga kehilangan dokumen perjalanan beliau yang beliau simpan dalam bahagian laci kereta.
Sementara itu stesen Polis Bandar mengesahkan laporan insiden itu dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan siasatan lanjut mengenai kes kehilangan kereta itu.

Fius elektrik turut jadi mangsa Oleh Rafidah Jumat (Di petik dari Media Permata,Selasa,12 Julai 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin- Wang tunai $900, fius elektrik, barang kemas, telefon bimbit dan dokumen penting adalah antara barangan yang dilaporkan hilang dalam tujuh kes curi yang berlaku di tempat berasingan bagi tempoh 13 hingga 17 Julai lalu.
Polis dalam laporannya hari ini turut merekodkan satu kes pecah kereta dan curi di kawasan letak kereta Kampung Sungai Bunga dengan barang yang dilaporkan hilang adalah bateri kereta terbabit.
Polis juga merekodkan tiga kes pecah rumah dan curi dengan barang yang dilaporkan hilang termasuk lampu spotlight, lampu jalan raya, kabel, fius, kamera, permainan PSP, cincin, beg dan dokumen penting.
Polis turut menerima laporan 23 kes curi dalam bangunan dengan barang yang dilaporkan hilang termasuk pemanas makanan, telefon bimbit dan seterika serta peti besi mengandungi maklumat sulit berserta dokumen penting. Berhubung dengan kes curi itu, polis memberkas tiga lelaki tempatan berusia antara 17 dan 20 tahun.
Laporan turut berkata dalam operasi bersepadu polis bersama Jabatan Perikanan baru-baru ini di kawasan perairan Brunei, 22 lelaki tempatan ditahan kerana gagal menunjukkan insurans dan lesen penambang.
Laporan lain yang direkodkan termasuk rosak barang, pemeriksaan perahu, mendatangkan kecederaan, pekerja lari dari majikan, rogol, gangguan melalui sistem khidmat pesanan ringkas dan telefon, ancaman, waran tangkap berhubung hutang piutang, keluar rumah, penderaan, tipu, menceroboh, percubaan membunuh diri dan bencana alam.
Kesalahan di bawah akta pula membabitkan Akta Agama, Akta Pelacuran, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan, Akta Imigresen, Akta Kastam Dan Akta Dadah.
Sementara itu, kes kemalangan bagi tempoh 14 hingga 17 Julai lalu mencatatkan sebanyak 18 kes dengan seorang terkorban dan lima orang mengalami cedera ringan.
Daripada jumlah itu lapan kes berpunca daripada kemalangan kereta dengan kereta, lapan lagi kemalangan sendiri, satu kemalangan kereta dengan pejalan kaki yang melibatkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dan satu kes membabitkan kemalangan kereta dengan binatang.
Daerah Brunei dan Muara mencatatkan 11 kes kemalangan diikuti daerah Belait (6) dan daearah Tutong (1).

Monday 20 July 2009

SCP beri peluang miliki simpanan di usia persaraan Oleh Sim Y. H. dan Yusrin Junaidi (Dipetik dar Media Permata ,Isnin ,20 Julai 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP) memberikan peluang kepada rakyat dan penduduk tetap Brunei untuk mempunyai simpanan serta sumber kewangan yang lebih bila mencapai usia persaraan 60 tahun.
"SCP memberikan peluang kepada saya untuk mendapat jaminan yang dalam persaraan saya nanti, saya akan mempunyai sumber kewangan tambahan sekurang-kurangnya $400 iaitu 150 dari SCP dan $250 dari bayaran pencen tua setiap bulan." Dengan adanya sumber kewangan bulanan itu, zaman persaraan akan lebih terjamin dan akan memberikan ketenangan jiwa untuk menghadapi zaman persaraan," kata seorang kakitangan sektor swasta, Kok Hua ketika ditemu bual mengenai SCP yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Titah Sempena Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Baginda ke-63.
Kok Hua juga menjelaskan SCP memberikan peluang beliau mempunyai sumber simpanan kewangan tambahan bagi zaman persaraan serta memberikan jaminan tanggungan beliau juga akan menikmati bayaran Skim SCP khas bagi tanggungan. Di samping itu juga beliau turut menyatakan persetujuan dengan usaha kerajaan menetapkan Skim SCP adalah dimestikan bagi semua rakyat dan penduduk tetap Brunei yang bekerja di sektor awam dan swasta serta juga mereka yang berkhidmat dalam sektor informal.
Skim SCP akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 dan menjadi skim persaraan tambahan kepada Skim Tabung Amanah Pekerja dengan SCP mempunyai objektif untuk memastikan semua peserta Skim SCP menerima bayaran pendapatan bulanan minimum $150 setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu 60 tahun. Menerusi skim itu, peserta dijamin menerima bayaran $150 dan di campur bayaran pencen tua, $250 yang dihulurkan oleh kerajaan, pesara akan menerima pendapatan minimum sejumlah keseluruhan $400 sebulan. SCP juga memberi pembayaran manfaat survivorship bagi menjamin kesejahteraan tanggungan jika peserta SCP meninggal dunia sebelum bersara mandatori. Skim SCP dimestikan kepada semua rakyat dan penduduk tetap Brunei yang berkhidmat di sektor awam, swasta dan sektor informal. Mereka berkhidmat di Sektor Informal, pada peringkat awal diiktiraf sebagai rakyat dan penduduk tetap Brunei yang sudah berusia 18 tahun dan ke atas yang bekerja atau membuat perniagaan secara persendirian untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan bagi diri sendiri atau untuk menyara anggota keluarga seperti petani, nelayan dan pengusaha kecil. Kelayakan mereka untuk diperakui sebagai golongan informal adalah tertakluk kepada pertimbangan Lembaga SCP. SCP adalah skim defined contribution yang menghendaki setiap peserta dan majikan untuk membuat caruman yang perlu dibuat secara bulanan menurut undang-undang dengan kadar caruman bulanan ditetapkan iaitu minimum 3.5 peratus bagi peserta dan 3.5 peratus daripada majikan iaitu 7 peratus caruman minimum daripada gaji bulanan peserta.Caruman yang dibuat akan dibahagikan bagi dua tujuan utama skim iaitu enam peratus caruman dimasukkan ke dalam akaun SCP peserta dan satu peratus untuk pembayaran bagi perlindungan survivorship. Bagaimanapun, jumlah caruman minimum adalah sebanyak $35 sebulan iaitu $17.50 bagi setiap peserta dan $17.50 oleh majikan mereka dengan perkiraan mengambil andaian gaji bulanan yang diterima peserta adalah $500.Jika peserta mempunyai gaji lebih rendah daripada $500 dan berdasarkan kepada kadar caruman 3.5 peratus dengan kadar caruman sebulan di bawah $17.50, maka pihak kerajaan akan memberi caruman bantuan untuk mencukupkan jumlah caruman kepada $17.50.Pada masa sama pihak majikan masih lagi dikehendaki membayar caruman minimum yang sama iaitu $17.50.
Untuk tidak membebankan majikan terutama syarikat perniagaan, perkiraan kadar caruman maksimum yang dibuat majikan ialah 3.5 peratus daripada $2,800 walaupun terdapat pekerja mereka yang menerima gaji bulan melebihi $2,800 sebulan.Bagi rakyat dan penduduk tetap yang termasuk dalam takrif sektor informal, mereka dikehendaki mencarum $17.50 setiap bulan dan kerajaan akan memberikan bantuan mencarum $17.50 bagi menjadikan jumlah caruman minimum bagi setiap peserta dari kumpulan sektor informal berjumlah $35 sebulan. Bagaimana pun peserta berkenaan juga boleh memilih mencarum lebih $17.50 sebulan jika berhasrat berbuat sedemikian untuk membolehkan menerima pendapatan persaraan lebih tinggi setelah mencapai persaraan mandatori iaitu genap umur 60 tahun.
Syarat kelayakan yang perlu dipenuhi setiap peserta untuk menikmati manfaat daripada Skim SCP adalah seperti setiap peserta hendaklah membuat caruman secara berterusan atau konsisten dari mula memasuki alam pekerjaan dan menyertai Skim SCP sekurang-kurang selama 35 tahun dan bagi generasi peralihan, mereka hendaklah membuat caruman sebaik sahaja Skim SCP dikuatkuasakan. Mereka ini akan layak untuk menerima insentif yang digelar 'Catch Up' atau bayaran caruman secara kebelakangan daripada kerajaan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.Generasi peralihan adalah didefinisikan sebagai rakyat dan penduduk tetap negara ini yang sedang berkhidmat di sektor awam dan swasta pada masa ini dan menyertai Skim TAP sehingga Skim SCP dikenalkan.
Bagaimanapun jika setelah membuat caruman tujuh peratus daripada gaji bulanan secara berterusan selama 35 tahun, peserta itu masih tidak mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi di dalam skim SCP apabila mencapai umur persaraan mandatori genap 60 tahun maka mana-mana kekurangan akan dibiayai oleh kerajaan. Manfaat Survivorship adalah satu komponen yang ditawarkan oleh Skim SCP ini yang bertujuan menjamin kesejahteraan hidup tanggungan peserta Skim SCP (isteri dan anak-anak) apabila peserta Skim SCP meninggal dunia. Manfaat itu mengandungi dua komponen iaitu Manfaat Perlindungan 'Survivorship' dan Manfaat Pencen Skim SCP khas bagi tanggungan. Jumlah manfaat 'Survivorship' yang diberikan kepada tanggungan peserta adalah berbeza antara peserta Skim SCP yang meninggal dunia sebelum atau setelah bersara. Jika peserta meninggal dunia sebelum bersara mandatori, maka tanggungan peserta akan menerima manfaat perlindungan 'Survivorship' dan manfaat pencen Skim SCP khas bagi tanggungan. Manakala jika peserta meninggal dunia setelah mencapai umur persaraan mandatori, tanggungan peserta akan hanya menerima manfaat Skim SCP khas bagi tanggungan.
Jika peserta Skim SCP meninggal dunia sebelum tarikh persaraan mandatori, balu dan anak-anak (di bawah 21 tahun) peserta akan menerima manfaat perlindungan 'Survivorship' bulanan dengan jumlah minimum sebanyak $400 saja selama 15 tahun dari tarikh peserta berkenaan meninggal dunia.Sekiranya balu kepada peserta juga meninggal dunia, maka bayaran manfaat perlindungan 'Survivorship' berkenaan akan dibuat kepada anak-anak peserta (di bawah 21 tahun) bagi baki tempoh 15 tahun selepas tarikh peserta berkenaan meninggal dunia. Jika balu peserta yang meninggal berkenaan berkahwin lagi, maka manfaat perlindungan 'Survivorship' tidak lagi diberikan kepada balu berkenaan tetapi akan dipindahkan kepada anak peserta yang layak.
Di samping menerima perlindungan 'Survivorship', balu peserta yang meninggal dunia juga menerima manfaat pencen Skim SCP khas bagi tanggungan. Sekiranya isteri atau suami peserta meninggal dunia, manfaat pencen Skim SCP khas itu akan dipindahkan kepada anak-anak peserta. Jumlah manfaat pencen Skim SCP khas bagi tanggungan itu akan dibayar secara bulanan dan adalah tertakluk kepada baki akaun skim SCP peserta seta umut tanggungan peserta.'Catch Up' adalah bayaran caruman yang dibuat secara kebelakangan yang akan dihulurkan oleh kerajaan kepada generasi peralihan iaitu rakyat dan penduduk tetap negara ini yang sedang berkhidmat di sektor awam dan swasta pada masa ini dan menyertai Skim TAP sehingga Skim SCP dikenakan. Insentif ' itu bertujuan untuk memastikan setiap peserta mempunyai simpanan yang mencukupi sebelum bersara mandatori untuk mereka menikmati manfaat Skim SCP.
Ini adalah kerana terdapat sebilangan peserta tidak dapat membuat caruman selama 35 tahun iaitu tempoh minimum yang diperlukan disebabkan mencapai umur lebih 25 tahun apabila Skim SCP berkuat kuasa.Jumlah 'Catch Up' itu akan dibayar secara 'front loading' kepada akaun skim SCP peserta apabila Skim ini mula berkuasa kuasa, seakan-akan telah membuat caruman sejak ia berumur 25 tahun. Jumlah Catch Up yang akan dihulurkan kepada setiap peserta dalam golongan generasi peralihan ini adalah sebanyak $30 sebulan sejak menjadi ahli TAP secara sama rata tanpa mengambil kira gaji bulanan ahli. Jika peserta berkenaan menjadi ahli TAP lebih awal daripada umur 25 tahun, Catch Up hanya akan dibayar mulai dia mencapai umur 25 tahun.
Ini adalah mengambil kira tempoh masa pengumpulan (Vesting Period) yang optimum untuk mencapai matlamat SCP adalah dengan mencarum jumlah caruman minimum konsisten sekurang-sekurangnya 35 tahun atau bermula sejak peserta berumur 25 tahun. Pemberian Catch Up ini juga akan dilanjutkan kepada semua peserta dari sektor informal pada jumlah yang sama dengan generasi peralihan tertakluk kepada pertimbangan Lembaga SCP nanti dan skim itu tidak membenarkan mana-mana pengeluaran wang dibuat daripada simpanan SCP sebelum peserta mencapai umur persaraan mandatori.

Tidak selamat lagi untuk didiami Oleh Haji Mohd Daud Abd Rahman (Dipetik dari Media Permata pada Isnin 20,Julai 2009


Kerja-kerja merobohkan rumah kediaman Dayang Tengah giat dijalankan dengan semangat gotong-royong.
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Gotong-royong merobohkan rumah kediaman Dayang Tengah Ibrahim di alamat No 80 Kampung Pengiran Bendahara Lama, Kampung Ayer, dijalankan dengan diketuai oleh ketua kampung berkenaan, Awang Haji Abd Hamid Hussin.
Tindakan merobohkan rumah berkenaan dibuat berikutan ia sudah selamat lagi untuk didiami memandangkan tiang konkrit simennya sudah banyak yang pecah begitu juga dengan tiang rumah banyak yang sudah reput dan condong hampir rebah.
Kerja-kerja gotong-royong itu turut disertai beberapa orang anak buah kampung terutama majlis kejiranan kampung serta anggota keluarga pemilik rumah berkenaan.
Rumah Dayang Tengah sudah berusia lebih 30 tahun.

Terowong bekas lombong arang batu di Pekan Muara oleh Norizan Murshid (Dipetik dari Media permata - Isnin,20 Julai.2009


Keadaan pintu masuk ke terowong bekas lombong arang batu di Pekan Muara.


BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Pada penghujung tahun 1990an, Media Permata ada menyiarkan berita mengenai terowong bekas peninggalan lombong arang batu di Pekan Muara. Kedudukan terowong itu betul-betul berhampiran bulatan pusing keliling jalan menuju ke Lebuh Raya Muara Tutong.
Justeru, pastinya mudah bagi orang ramai menjejaki lokasi yang dimaksudkan. Namun begitu, tinjauan Media Permata ke lokasi yang sama baru-baru ini mendapati, tidak ada apa-apa perubahan dilakukan oleh mana-mana pihak berkaitan dengan sejarah lama ini. Belum ada papan tanda didirikan sebagai makluman kepada orang ramai sungguhpun lokasi ini bukanlah tempat lawatan atau tempat bersejarah. Seandainya ada didirikan papan tanda ini secara tidak langsung boleh menjadi ingatan kepada generasi baru bahawa sebelum adanya sumber minyak negara ini mengeluarkan arang baru dan getah untuk dieksport ke luar negara.

Polis marin temui dua beranak selamat oleh Imelda Farrah Zohre HA (Dipetik dari Media Permata pada Isnin, 20 Julai 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Polis Marin menemui semula dua anak-beranak dalam keadaan selamat selepas anggota keluarga melaporkan mereka tidak pulang-pulang selepas keluar menangkap ikan.
Ketika perahu mereka dijumpai di kawasan Sungai Bunga, polis marin mendapati perahu kedua-dua beranak itu mengalami kerosakan enjin yang kemudiannya ditunda oleh anggota-anggota polis marin sehingga sampai ke rumah mereka.
Ketika dijumpai mereka dalam keadaan baik dan tiada apa-apa yang membimbangkan dan pegawai penyiasat polis marin bertugas mengambil keterangan dan data peribadi berserta gambar perahu mereka, kata polis marin dalam kenyataan mereka hari ini.
Hasil siasatan tidak ada unsur-unsur jenayah atau perkara yang diragui berlaku hanya kerana kerosakan enjin perahu maka mereka tidak dapat balik ke rumah.
Kedua-dua anak-beranak itu keluar menangkap ikan pada Sabtu di kawasan Pulau Tanjung Kerasik berdekatan dengan Pulau Kitang tetapi tidak pulang-pulang sehingga anggota keluarga menghubungi talian kecemasan 993 Polis Marin.
Aduan yang diterima dari Saili Haji Matarsad dari Kampung Tamoi Tengah melaporkan abangnya dan anak abangnya belum pulang dari laut dari jam 8 pagi hingga sekarang.
Haji Othman Matarsad, 63, bersama anaknya Affendi, 32, turun ke laut untuk menangkap ikan menggunakan perahu jenis fiberglass warna putih di kawasan Pulau Tanjung Kerasik berdekatan Pulau Kitang, Sungai Brunei,
Setelah lewat malam mereka masih belum pulang dari menangkap ikan menyebabkan anggota keluarga merasa bimbang dan khuatir akan keselamatan mereka yang kemudiannya melaporkan ke pihak polis untuk meminta bantuan dan tindakan selanjutnya.
Hasil laporan itu, anggota Polis Main, Lans Koperal Haji Sahmbari Haji Lias dan Konstabel Noradie Md Daud membuat rondaan di kawasan zon Sungai Brunei menggunakan Bot Polis PDB 71 dan menemui perahu mangsa.

Tuesday 7 July 2009

Kementerian tarik balik jualan sup Campbell's - Oleh Rafidah Jumat (Di petik dari Media Permata,Rabu, 1 Julai 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan penarikan balik sup berjenama Campbell's yang berkemungkinan mengandungi beberapa getah hitam.
Produk yang ditarik balik secara sukarela oleh Campbell's Soup Australia itu ialah Campbell's Country Ladie Potato dan Leek, 505g yang mempunyai kod batch 3T9PAL dan produk itu turut dieksport ke Singapura, kata kementerian dalam kenyataan media hari ini.
Regal Cream Products Pty Ltd pula membuat penarikan balik secara sukarela ke atas produk aiskrim, Bulla Creamy Classics - "Cookies & Cream" berjenama Bulla, 2 liter bekas plastik yang mempunyai tarikh mansuh pada 6 Oktober 2010 kerana produk itu berkemungkinan mengandungi beberapa keping plastik kecil.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian sedang membuat pemeriksaan di pasar raya seluruh untuk memastikan produk terbabit tidak ada di pasaran dan tidak diimport ke negara ini.
Sehubungan itu, kementerian menasihatkan para pengimport dan peniaga menarik balik produk terbabit, (jika ada) dari pasaran dan menyerahkannya ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan atau Pejabat-Pejabat Kesihatan di daerah-daerah untuk dimusnahkan.
Para pengguna yang memiliki produk-produk terbabit juga dinasihatkan mengembalikan (jika ada) ke kedai produk itu dibeli atau menyerahkannya ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan atau Pejabat-Pejabat Kesihatan di daerah-daerah. Kementerian dalam kenyataannya juga memaklumkan peruntukan di bawah Bab 9 ceraian (1) sub-perenggan (i) Akta (Kesihatan Awam) (Makanan), (Penggal 182) menyebut sesiapa yang menyediakan, menjual atau mengimport makanan yang tidak sesuai dimakan manusia atau beraduk boleh dikenakan penjara selama lima tahun atau suatu denda atau kedua-duanya sekali.

Wanita Brunei dipenjarakan seumur hidup Oleh Salawati Haji Yahya (Dipetik dari Media PermataSelasa, 7 Julai 2009)

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Seorang wanita warga Brunei berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup setelah didapati salah membawa masuk dadah jenis heroin seberat 894.05 gram ke China pada 11 Januari. Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam kenyataannya hari ini menjelaskan wanita terbabit dijatuhi hukum oleh Mahkamah Shanghai No.1, China pada 1 Jun. Wanita itu ditahan oleh pihak Biro Anti Penyeludupan, Kastam Shanghai setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong dengan menggunakan penerbangan MH388 dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Ketika pemeriksaan oleh penguat kuasa di sana, mereka menemui satu bungkusan kecil mengandungi dadah Heroin di bawah lapisan beg pakaian yang dibawa oleh wanita berkenaan.
Kegiatan ini dipercayai didalangi oleh satu sindiket dadah antarabangsa warga Afrika yang beroperasi menggunakan taktik "chatting" di Internet dan wanita itu dipercayai membuat pertemuan di Malaysia.
Sementara itu dalam satu kejadian berlainan, seorang lagi lelaki warga Brunei berusia 29 tahun juga ditahan oleh pihak berkuasa China pada 23 Jun setelah ditahan oleh pihak Biro Anti Penyeludupan, Kastam Tianjin, China.
Lelaki terbabit ditahan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Binhai, Tianjin dengan menaiki pesawat D72612 dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Dalam tangkapan tersebut, lelaki terbabit didapati membawa masuk dadah jenis Heroin seberat 995.72 gram yang disembunyikan dalam lapisan dinding beg pakaian yang juga dipercayai perancangan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di luar negara.
Lelaki berkenaan kini ditahan oleh pihak berkuasa China di Tianjin untuk siasatan.
Sementara itu, dua kes lagi yang melibatkan tangkapan masing-masing warga Brunei di Santiago, Chile dan Sydney Australia masih dalam siasatan pihak berkuasa di sana.
BKN mengingatkan kepada orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa mengingatkan dan memerhatikan anak-anak mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan janji dan tawaran pekerjaan atau melancong keluar negara yang diberikan oleh orang yang tidak dikenali.
Orang ramai pula diminta melaporkan maklumat yang mencurigakan dan dipercayai berhubung kait dengan kegiatan dadah dengan menghubungi talian 2448877 pada waktu bekerja dan talian 8777444 selepas waktu bekerja.
Biro Kawalan Narkotik akan sentiasa meningkatkan usaha bagi memantau terhadap apa jua kegiatan penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Brunei.